Kelemahan kepimpinan keluarga cabaran utama usaha menoktahkan kemiskinan

Iklan
Wan Ahmad Amir Zal

KOTA BHARU – Institut Kajian Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendedahkan kelemahan kepimpinan dalam keluarga, khususnya melibatkan soal pendidikan dan pembentukan masa depan anak-anak, menjadi cabaran kepada usaha menoktahkan kemiskinan di Malaysia.

Pengarahnya, Prof Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, isu itu perlu diberikan perhatian serius selepas masalah tersebut dilihat semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini, meskipun kemiskinan yang diwarisi semakin berkurangan.

Iklan
Iklan

“Bila ibu bapa tidak lagi menjadikan pendidikan sebagai jalan keluar daripada kemiskinan, anak-anak akan terus hanyut dalam gaya hidup yang sama tanpa hala tuju.

“Kalau ayah hobinya mengail, anak pun ikut mengail. Begitulah berulang tanpa pembaharuan dalam cara hidup, akhirnya mereka kekal dalam kepompong kemiskinan,” katanya pada sidang akhbar, Selasa.

Iklan

Terdahulu, beliau hadir pada Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang dirasmikan oleh Naib Canselor UMK, Prof Dr Arham Abdullah di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

Menurut beliau, masyarakat terdahulu sanggup menggadai tanah demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik untuk keluar daripada kemiskinan.

Iklan

Ujarnya, kelemahan dalam kepimpinan keluarga hari ini didorong oleh pelbagai faktor termasuk kesibukan kerja ibu bapa, sikap anak yang sukar dikawal, pengaruh sosial negatif serta penyalahgunaan bahan terlarang.

Wan Ahmad Amir Zal menegaskan, hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan seharusnya mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

“InsPeK UMK juga telah diberikan kepercayaan oleh Kementerian Ekonomi untuk mewujudkan sistem InsPeK Box (iBox) yang mengumpulkan data kemiskinan seluruh Malaysia.

“Alhamdulillah, melalui sistem itu kita berjaya memetakan potensi orang miskin di seluruh negara untuk dipadankan dengan agensi serta industri, bagi memastikan golongan berkenaan boleh dibawa keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pelbagai cara,” katanya.

Menurut beliau, pengurusan kemiskinan pada masa kini semakin kompleks dan bukan lagi suatu isu yang mudah ditangani.

“Jika dahulu ada falsafah mengatakan ‘sediakan pancing supaya orang miskin boleh berusaha tangkap ikan’, tetapi kini ia sudah tidak mencukupi.

“Kerajaan perlu menyediakan ekosistem menyeluruh untuk membawa golongan sasar keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Perlu ada ilmu, sistem sokongan, sistem kerja, ekosistem bersesuaian serta penglibatan agensi dan industri,” katanya.