Penganggur mengaku bakar lori tunda MBJB

Iklan
Wan Muhammad dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Selasa.

JOHOR BAHRU - “Jika diberi peluang, saya hendak mohon maaf kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).”

Demikian luahan seorang penganggur di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan membakar sebuah lori tunda milik MBJB minggu lalu.

Iklan
Iklan

Tertuduh, Wan Muhammad Nasrul W Ahmad, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Talha Bachok @ Embok Mok.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan api iaitu petrol dengan niat mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar sebuah lori tunda milik MBJB sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM24,000.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Depoh Simpanan Kenderaan JB Waterfront Johor Bahru kira-kira jam 11.07 pagi pada 15 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Iklan

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu dan R. Navina, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim seterusnya menetapkan Rabu sebagai tarikh jatuh hukum serta serahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.07 pagi Jumaat lalu selepas suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaan jenis Perodua Axia miliknya ditunda pihak MBJB sehari sebelum itu.

Jelas beliau, suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun telah diminta membuat rayuan namun merasakan proses tersebut menyukarkan dirinya sebelum bertindak di luar batas undang-undang.