KUALA LUMPUR - Tiga kedai tekstil terkenal di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dikompuan kerana menggunakan alat sukat liner atau pembaris tidak ditentusahkan pada Selasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pihaknya mendapati masih ada kedai fabrik dan tekstil yang menggunakan alat sukat liner tidak ditentusahkan.
"Kita telah mengeluarkan kompaun serta merta terhadap perniagaan kedai berkenaan.
"Pembeli dan pengguna harus lebih peka ketika membeli kain ela, tengok dan semak pembaris berkenaan telah ditentusahkan antaranya terdapat logam di kedua-dua hujung kayu serta label pensijilan KDPN," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Mohd Sabri berkata, daripada 35 premis yang diperiksa dalam Ops Pematuhan Undang-Undang KPDN, tujuh daripadanya telah dikompaun sebanyak RM7,000.
"Kita mendapati pelbagai kesalahan iaitu tidak mempamerkan penandaan harga bagi barang jualan serta menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan.
"Tindakan kompuan itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71]," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, sebanyak 272 kes sejak awal tahun melibatkan kesalahan penandaan harga serta alat timbang dan sukat dengan jumlah kompaun hampir RM100,000.
"Para pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta perlu menyalurkan apa jua maklumat sekiranya mengesyaki terdapat penyelewengan barang kawalan, penjualan barangan tiruan dan ketidakpatuhan para peniaga di bawah perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
"Kita juga amat mengharapkan supaya para peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh agensi penguatkuasaan dalam menjalankan aktiviti urus niaga pada setiap hari," ujarnya.