LABUAN - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di perairan berhampiran Pantai Tanjung Batu di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, mayat ditemukan oleh seorang wanita yang sedang mencari landak laut dan siasatan awal polis mendapati mayat itu mempunyai kaitan dengan kes orang hilang yang dilaporkan di Sundar, Lawas, Sarawak, Khamis lepas.
"Mangsa, Assan Osman, 65 tahun, yang merupakan seorang nelayan dilaporkan hilang ketika keluar mencari hasil laut.
"Pencarian dilakukan keluarga dan penduduk kampung hanya menjumpai perahu miliknya yang hanyut di perairan Sundar,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Beliau berkata, pihak polis telah menghubungi keluarga Assan untuk proses pengecaman dan mayat Assan disahkan anak lelakinya di Jabatan Forensik Hospital Labuan semasa proses bedah siasat dijalankan.
Kes itu katanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil penuh bedah siasat. - Bernama