Tuah basikal RM30,000

Iklan
Abdullah muncul pelari terbaik tempatan Kejohanan Duathlon Jarak Jauh Titan 77.7 di Pantai Morib pada Ahad.- Foto: Penganjur.

Abdullah muncul pelari terbaik tempatan Kejohanan Duathlon Jarak Jauh Titan 77.7

PENGORBANAN seorang peserta, Abdullah Umar Idrus yang sanggup berbelanja RM30,000 untuk membeli sebuah basikal ternyata berbaloi apabila menjadi pelari Malaysia terbaik setelah menamatkan Kejohanan Duathlon Jarak Jauh Titan 77.7 di tempat kedua keseluruhan.

Pada kejohanan yang berlangsung di Pantai Morib, Kuala Langat pada Ahad itu, Abdullah berjaya menamatkan saingan merangkumi larian sejauh empat kilometer (km), berbasikal (100km) serta berlari di pinggir pantai (21km).

Iklan
Iklan

“Saya mula berlari sejak tiga bulan lalu dengan sasaran untuk menang sehingga saya berbelanja hampir RM30,000 bagi membeli basikal. Selepas ini, saya mahu berkecimpung secara serius,” katanya yang mencatat masa 4 jam 29 minit 24 saat (s).

Abdullah turut mengakui bahawa saingan tersebut sangat mencabar kerana menuntut kekuatan fizikal dan mental.

Iklan

“Ia satu kejohanan yang sangat mencabar. Acara berbasikal memang benar-benar menguji kemampuan tetapi saya cuba untuk mengawal penggunaan tenaga kerana perlu digunakan bagi acara larian.

“Cuaca cukup lembap dan saya terpaksa mengambil air di setiap ‘checkpoint’ untuk membasahkan diri. Saya bernasib baik kerana tidak mengalami kejang otot selepas memaksa diri ke tahap maksimum,” katanya.

Iklan

Pemenang bagi acara tersebut adalah pelari dari Filipina, Raymund M Torio yang melakukan catatan 4’28:12s, manakala tempat ketiga menjadi milik seorang lagi peserta tempatan, Mohd Hafidz Abd Hamid (4’35:10s).

Bagi kategori wanita, pelari Singapura, Evangeline Tan muncul pemenang selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 5’20:24s diikuti dua peserta Malaysia, Nor Adzura Harun (6’13:29s) dan Arina Adzahar (6’31:12s).

Sebagai rekod kesemua pemenang akan dibawa menyertai kejohanan Titan 77.7 di Filipina yang berlangsung pada 5 Oktober depan dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur.