Konstabel polis maut dilanggar pemandu mabuk

Iklan
Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang dilanggar Perodua Bezza dipandu oleh lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk. Foto: Ihsan polis, gambar kecil: Naim Mullah

SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat konstabel maut selepas motosikal ditunggang dilanggar pemandu dipercayai dalam keadaan pengaruh alkohol di Jalan Temiang berhampiran Sekolah Kebangsaan Temiang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 1.01 pagi itu, mangsa Naim Mullah Mohd Affandi,23, yang bertugas di Balai Polis Jalan Campbell di sini cedera parah dan meninggal dunia jam 2.24 pagi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bergerak dari arah Seremban menghala ke Temiang.

"Namun apabila sampai di lokasi, sebuah kereta jenis Perodua Bezza telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

Iklan

"Akibatnya, mangsa yang ketika itu dalam tugasan alami cedera parah pada bahagian kepala dan telah dibawa ke HTJ untuk rawatan lanjut," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di zon kecemasan.

Iklan

Jelasnya, pemandu Perodua Bezza seorang lelaki berusia 26 tahun alami cedera ringan dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, ketika kejadian, pemandu terbabit disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Sampel darah telah pun diperoleh dan akan diuji di Jabatan Kimia," katanya.

Mohamad Hatta berkata, lelaki tersebut telah direman enam hari bermula pada Isnin untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Tambahnya, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.