Hampir 4,000 ikan asing dari Sungai Galah 'dimusnahkan'

Iklan
Program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 2 Perak 2025 yang disertai 53 peserta berjaya menaikkan hampir 4,000 ekor ikan asing dari Sungai Galah, Kampung Gajah, pada Ahad lalu. Foto: Jabatan Perikanan Perak

PASIR SALAK – Hampir 4,000 ekor ikan asing yang menjadi ancaman utama kepada biodiversiti sungai berjaya didaratkan dari Sungai Galah, Kampung Gajah, di sini pada Ahad.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah itu melibatkan 954.26 kilogram membabitkan spesies perosak seperti ikan bandaraya, baung ekor merah dan patin Chao Phraya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan jabatan dalam membanteras spesies asing yang semakin menular di perairan negara.

“Usaha membanteras spesies ikan asing perlu dilakukan secara berterusan melalui pendekatan holistik, bukan sahaja melalui aktiviti pemburuan tetapi juga dengan sokongan komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Adnan (duduk, dua dari kanan) melepaskan benih ikan asli bernilai RM18,400 melibatkan spesies temoleh, kerai dan udang galah di Sungai Galah. Foto: Jabatan Perikanan Perak

Tambahnya, kejayaan tangkapan ikan asing itu adalah hasil pelaksanaan Program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 2 Perak 2025 yang disertai 53 peserta.

Iklan

Katanya, program berkenaan adalah kesinambungan siri pertama di Ipoh pada 12 hingga 13 Julai lalu yang merekodkan tangkapan 2.3 metrik tan (6,420 ekor) ikan bandaraya dan peacock bass.

“Usaha ini bukan sekadar pertandingan, tetapi mesej jelas kepada masyarakat mengenai bahaya spesies asing terhadap ekosistem sungai,” katanya.

Adnan menambah, selain operasi pemburuan, Jabatan Perikanan turut melepaskan benih ikan asli bernilai RM18,400 melibatkan spesies temoleh, kerai dan udang galah sebagai langkah konservasi untuk memulihkan stok ikan tempatan.

“Dengan kombinasi pemburuan ikan asing dan pelepasan benih ikan asli, kita memastikan sungai terus menjadi habitat sihat serta menjamin kelestarian sumber perikanan negara untuk generasi akan datang,” tegasnya.