DALAM tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu dari Januari hingga Jun, dilaporkan kerugian kewangan akibat jenayah penipuan dalam talian telah mencecah sehingga RM1.12 bilion.
Angka ini jelas menunjukkan bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat mudah terpedaya dengan kelicikan scammer walaupun pelbagai kempen kesedaran giat dijalankan.
Realitinya, scammer sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menjerat mangsa dengan pelbagai kaedah.
Taktik terbaharu yang semakin ketara ialah serangan menggunakan kod QR palsu atau lebih dikenali sebagai QR phishing atau quishing.
Kecuaian sekecil mengimbas kod atau menekan pautan mencurigakan boleh mengakibatkan kerugian besar.
Apabila seseorang mengimbas kod QR seperti yang sering kita lakukan sekarang ini ketika membeli-belah kerana ia lebih mudah, sebenarnya ia boleh mendedahkan data peribadi kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Maklumat seperti nama pengguna, kata laluan, nombor kad pengenalan mahupun butiran kad kredit mungkin dicuri dan seterusnya disalahgunakan.
Keadaan ini sama seperti e-mel palsu yang meniru laman sesawang perbankan dengan domain dan reka bentuk seakan-akan asli.
Jika pengguna terpedaya, mereka akan menyerahkan maklumat sulit tanpa disedari.
Oleh itu, masyarakat perlu lebih bijak daripada scammer. Sentiasa berhati-hati, berwaspada dan jangan mudah percaya pada pautan, mesej atau kod QR yang diterima daripada sumber tidak dikenali.
Jika wujud keraguan, pilihan terbaik adalah untuk tidak melayan, sebaliknya abaikan sahaja.
Lebih baik berwaspada dari awal daripada menanggung kerugian kemudian hari.
Perkara sama juga perlu diingat ketika menerima panggilan telefon yang mencurigakan. Ada individu yang cuba melayan scammer, namun tanpa sedar lama-kelamaan boleh tergoda. Tindakan paling selamat ialah menamatkan panggilan dengan segera.
Selain QR palsu, taktik penipuan lain yang kian popular ialah penipuan video, penipuan suara dan teknik penyamaran.
Semua ini menuntut masyarakat lebih berdisiplin dalam melindungi maklumat peribadi.
Antara langkah mudah yang boleh diamalkan ialah mengelak daripada menekan pautan yang terlalu panjang atau penuh dengan simbol mencurigakan seperti garisan condong (slash) dan titik bertindih (dot).