Tambah peruntukan khas buat Unit D11 dalam Belanjawan 2026 - Nurul Izzah

Iklan
Nurul Izzah desak kerajaan menambah peruntukan khas untuk Unit D11 PDRM dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasakan siasatan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak. Foto Facebook Nurul Izzah Anwar Kredit Facebook/ Nurul Izzah Anwar

SHAH ALAM – Kerajaan diminta menambah peruntukan khas buat Unit D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada Oktober depan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, Unit D11 yang ditugaskan menyiasat kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh negara perlu diperkasakan dengan kelengkapan, peralatan moden serta anggota tambahan.

Iklan
Iklan

Beliau yang sempat mengadakan lawatan ke unit berkenaan bulan lalu mendedahkan kebanyakan pegawai polis dan staf sokongan, majoritinya wanita, bekerja dalam keadaan serba kekurangan bahkan hanya bergantung kepada empat komputer lama.

“Dengan sumber dan anggota terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat. Bayangkan tugasan unit yang menjadi benteng pertahanan wanita dan kanak-kanak ini.

Iklan

“Pegawai-pegawai D11 bukan manusia biasa. Mereka adalah ibu, malah ada yang sudah bergelar nenek. Tetapi demi mencari petunjuk dan bukti untuk menangkap penjenayah, mereka sanggup menonton berulang kali setiap rakaman siasatan yang amat menyayat hati.

“Hasil sumbangan insan budiman yang sehaluan dengan misi ini, sebanyak 10 komputer baharu diserahkan dan satu bilik temu bual khas untuk mangsa diubah suai menjadi ruang yang lebih mesra dan selamat. Namun, usaha ini masih jauh daripada mencukupi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Nurul Izzah berpandangan, kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan serangan kejam terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli adalah isyarat jelas bahawa sekiranya pihak berwajib gagal bertindak serta-merta, lebih ramai kanak-kanak akan menjadi mangsa pada masa akan datang.

Tambahnya, kedua-dua kes tersebut membuktikan bahawa keselamatan kanak-kanak bukan lagi isu pinggiran, tetapi perkara mendesak yang mesti diberi perhatian serius.

“Jadi, jangan biarkan mereka (Unit D11) berjuang bersendirian tanpa sokongan yang mencukupi.

“Anak-anak Malaysia berhak hidup dengan selamat tanpa ketakutan. Mereka adalah aset masa depan negara dan keselamatannya tidak boleh dikompromi,” ujarnya.