Kematian pelatih Palapes: Pemuda Kimma desak siasatan menyeluruh

Iklan
Syed Alwi (tengah) bersama Pemuda Kimma Negeri Sembilan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.

SEREMBAN - Pemuda Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Negeri Sembilan membuat laporan polis bagi menuntut siasatan menyeluruh dan telus terhadap kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) bulan lalu.

Ketuanya, Syed Alwi Syed Jaafar, berkata ibu Allahyarham mendakwa terdapat kecederaan fizikal pada tubuh anaknya dan ia amat bertentangan dengan laporan yang menyatakan kematiannya berpunca daripada sawan.

Iklan
Iklan

“Jadi kita terpanggil membuat laporan polis berkaitan kematian arwah dan memohon pihak polis merungkai punca kematiannya.

“Semua pihak terlibat termasuk universiti perlu disiasat dan dibawa ke muka pengadilan jika adanya unsur kecuaian dan jenayah agar keluarga mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Pada masa sama, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan diharap dapat mengkaji semula prosedur latihan dalam Palapes bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Tambahnya, tahap keselamatan juga perlu dipertingkatkan sekali gus mengelakkan kejadian menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang sebelum ini menggemparkan negara daripada berulang lagi.

Iklan

“Kami menuntut penyiasatan penuh dilaksanakan dengan kadar segera agar semua pihak terlibat dihadapkan segera ke muka pengadilan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan ibu kepada Allahyarham memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya bagi menjalankan bedah siasat kedua.

Beliau turut meminta siasatan diambil alih oleh pasukan baharu dari Bukit Aman dan inkues dijalankan oleh Peguam Negara atas dakwaan terdapat kecederaan mencurigakan yang menunjukkan kemungkinan unsur jenayah.

Bedah siasat pertama didakwa tidak dilakukan oleh pakar forensik, selain keluarga tidak dibenarkan melihat keseluruhan jasad, manakala Menteri Pertahanan sebelum ini menyatakan tiada unsur penderaan dalam kematian Syamsul Haris.

Namun, pada 13 Ogos lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Jawatankuasa Siasatan mendapati tiada unsur penderaan terhadap Syamsul Haris yang meninggal dunia ketika mengikuti latihan di Pulada, Ulu Tiram, pada 28 Julai.