LANGKAWI – Walaupun disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat sejak dua tahun lalu, seorang nelayan dari Pulau Tuba tetap cekal turun ke laut demi menyara keluarga tercinta.
Hairun Othman, 40, berkata, kesihatannya sering terganggu sejak dikesan menghidap penyakit itu, namun tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada empat anak memaksanya terus bekerja.
“Saya tak fikirkan diri sendiri. Anak-anak masih kecil dan bersekolah, isteri saya, Suwanna Abdullah, 40, pula tidak bekerja. Selagi ada kudrat, saya akan terus ke laut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Derakit, Pulau Tuba, di sini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan wakil Cancer Survivors Malaysia (CSM), Yusrina Jusoh, yang hadir menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur bagi meringankan beban keluarga berkenaan baru-baru ini.
Hairun menjelaskan, dia mula menyedari perubahan pada tubuh apabila muncul benjolan di leher dan paha.
Menurutnya, pemeriksaan awal di Hospital Sultanah Maliha (HSM) tidak memberikan keputusan yang jelas, menyebabkan beliau mencuba rawatan tradisional.
Namun, keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga tidak mampu berjalan selama hampir dua minggu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk rawatan lanjut.
“Setiap kali ke hospital, saya perlu keluar dari Pulau Tuba menaiki bot ke Langkawi, kemudian feri ke Kuala Kedah sebelum ke Alor Setar. Kos perjalanan, makan minum dan penginapan sangat tinggi,” jelasnya.
Hairun menjalani 10 pusingan kemoterapi sebelum beralih kepada ubat oral kemoterapi yang boleh diambil di rumah kerana tidak lagi mampu berulang-alik ke tanah besar.
“Doktor sahkan masih ada sel kanser di dada. Saya pilih ubat oral sebab lebih mudah dan kurang membebankan dari segi kewangan,” katanya.
Tambah Hairun, dia kini kerap mengalami asma dan semput, namun tetap turun ke laut demi mencari rezeki.
“Saya tahu keadaan saya tak sekuat dulu, tapi selagi boleh bergerak, saya akan teruskan,” katanya sambil menahan sebak.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541100354077 atas nama Hairun Othman.