Ahli Parlimen diminta sediakan peruntukan uniform APM mulai tahun depan - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid mengiringi Tengku Permaisuri Selangor yang berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM pada Sabtu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Bermula tahun hadapan, ahli-ahli Parlimen akan diminta memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan mereka bagi pembelian uniform pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan memperkasa pasukan beruniform serta menggalakkan lebih ramai anggota.

Iklan
Iklan

"Semua petugas di kementerian juga digalakkan menyertai APM," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 2025 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Ahad.

Majlis tersebut disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Iklan

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed.

Pada majlis itu, seramai 24 pegawai mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing menerima Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik, manakala satu anugerah khas iaitu Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana (Best Among The Best) turut disampaikan.

Iklan

Seramai 918 pelajar ditauliahkan berpangkat Leftenan Muda (Pertahanan Awam).

Ahmad Zahid menegaskan pertahanan awam merupakan lapisan kedua dalam pertahanan negara selepas tentera dan polis.

Latihan yang dijalankan akan menguatkan semangat, menekankan disiplin serta meningkatkan ketahanan diri anggota. - Bernama