SEREMBAN - Seramai 467 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) kali Ke-21 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Tunku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Khamis.
Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang sebagai simbolik kepada pengiktirafan kejayaan graduan dalam pelbagai peringkat pengajian.
Hadir sama ialah Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib, Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli; Ketua Eksekutif Kolej RISDA, Muhamad Mahathir Abdul Rahim dan Rektor UCAM, Ts. Dr Rossly Salleh.
Sebanyak 21 program pengajian terlibat, terdiri daripada seorang graduan Ijazah Sarjana, 93 graduan Ijazah Sarjana Muda, 172 penerima diploma, empat penerima Sijil Program Eksekutif dan 197 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
UCAM merupakan institusi milik penuh RISDA dan berperanan penting dalam melahirkan modal insan dalam sektor pertanian dan kemahiran teknikal.
Pada majlis itu, seramai empat graduan cemerlang turut menerima anugerah khas atas pencapaian luar biasa masing-masing sepanjang tempoh pengajian iaitu Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Graduan Keseluruhan Terbaik), Anugerah Graduan Akademik (Ijazah Sarjana Muda) Terbaik, Anugerah Graduan Akademik (Diploma) Terbaik dan Anugerah Graduan Ko-kurikulum Terbaik.
Muhammad Fathur Rahman Mohd Sani, 24 dari Program Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Kepujian) menerima Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Graduan Keseluruhan Terbaik)
Diikuti graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Kepujian), Nur Alya Farhana Faizal, 25, menerima Anugerah Graduan Akademik Terbaik (Ijazah Sarjana Muda).
Sementara Anugerah Graduan Akademik Terbaik (Diploma) milik pelajar program Diploma Sains Pertanian, Siti Nur Aisyah Norhata,25 dan Anugerah Graduan Kokurikulum Terbaik oleh Muhammad Farhan Mohd Pilus,27, dari Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Kepujian).
Graduan terbaik UCAM, hadiah kejayaan sempena hari lahir ayah
Sementara itu, Muhammad Fathur Rahman menganggap pengiktirafan sebagai Graduan Keseluruhan Terbaik itu sebagai hadiah istimewa buat ayahnya sempena ulang tahun ke-49 pada 18 Ogos ini.
Anak kelahiran Terengganu itu berterima kasih kepada sokongan ibu bapa, pensyarah dan seluruh kakitangan UCAM serta RISDA yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
Dia mengakui berdepan pelbagai cabaran sepanjang sesi pengajian hingga pernah menjual makanan ringan di kampus bagi menampung perbelanjaan pada semester satu lalu.
“Ketika biasiswa belum masuk, saya mengambil inisiatif tersebut untuk teruskan pengajian.
"Alhamdulillah, kemudian saya terima biasiswa bulanan RM450 serta bantuan setiap semester daripada Yayasan RISDA yang banyak membantu,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Detik indah itu diraikan bersama ibu, Suzana Abdullah, 45 serta bapa, Mohd Sani Awang Ahmad, 48 yang hadir meraikan hari bersejarah anaknya.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kini dia menjalankan perniagaan biskut secara kecil-kecilan sementara menunggu tawaran pekerjaan tetap dan bercita-cita menjadi pegawai RISDA.
Pada masa sama katanya, minatnya dalam bidang pertanian tidak pernah terpadam dan berhasrat mengusahakan ladang buah tin di Terengganu satu hari nanti.
Suzana meluahkan rasa bangga dengan kejayaan anaknya walaupun dibesarkan dalam keadaan mencabar selepas ibu bapa berpisah selain dirinya sendiri diuji faktor kesihatan yang baharu pulih daripada serangan strok.
Dia dan bekas suami tetap menjaga hubungan baik setelah berpisah sejak 2008 supaya kebajikan anak-anak tidak terabai.
Sementara hal sama turut diakui Mohd Sani dan berharap segenggam ijazah diperoleh anaknya menjadi sinar baharu untuk merubah masa depan keluarga menjadi lebih baik.
Sasar pemangkin pertanian belia
Bagi Muhammad Farhan, ijazah yang diperoleh itu menjadi suntikan semangat buatnya untuk terus menyumbang dalam sektor pertanian negara.
Anak jati Johol, Negeri Sembilan itu berkata, minat dalam bidang pertanian dipupuk sejak kecil kerana bapanya merupakan pekebun kecil yang mengusahakan kebun getah.
Farhan kini bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Pelajar di kolej swasta di Tampin selain turut aktif sebagai pemimpin dalam Majlis Belia dan ABIM Tampin.
"Melalui ilmu yang saya ada ini, kami telah melaksanakan beberapa projek Agropreneur Muda melalui tanaman pisang di Gemas dan labu manis di Tampin.
"Projek ini bukan sahaja menjana ekonomi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah menjadi platform membuka peluang pekerjaan kepada belia serta merintis penubuhan hab pertanian di Tampin," katanya.
Dia berkata, UCAM banyak melahirkan petani moden selain dia sendiri turut menjadi penerima Anugerah AET RISDA bagi produk makanan daging salai.
"Dalam keadaan ekonomi sekarang, kita tak boleh hanya bergantung kepada kerajaan sebaliknya perlu sama memainkan peranan membantu perbaiki sekuriti makanan negara melalui sumbangan kepada sektor pertanian negara,” katanya.
Sijil SKM tingkat keyakinan masyarakat
Bagi penerima Anugerah Graduan Terbaik Program TVET di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Nik Suriyati Zakaria, 38, berkata, tempahan baju semakin meningkat dan pelanggan berpuas hati dengan hasil jahitannya.
“Walaupun saya OKU (orang kurang upaya), orang lebih yakin dengan perkhidmatan saya kerana saya ada sijil kemahiran," kata Nik Suriyati Zakaria,38 yang kini menjadikan kemahiran menjahit sebagai punca pendapatan utama isi rumah.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, mengalami kecacatan fizikal sejak lahir dan minat menjahit bermula sejak tingkatan dua.
"Saya ambil sijil SKM Tahap Dua dari Kolej RISDA Kelantan melalui kursus jangka pendek jahitan pakaian selama tiga bulan untuk beri lebih keyakinan kepada masyarakat bahawa OKU seperti saya juga ada kemahiran menjahit.
"Selepas ini saya merancang menyambung pengajian ke SKM Tahap Tiga, khusus dalam kemahiran menjahit pakaian pengantin, uniform dan baju korporat pula," katanya.
Beliau menyeru agar lebih ramai golongan B40 dan anak pekebun kecil merebut peluang di Kolej RISDA kerana ia mampu menjana peluang pendapatan melalui bidang kemahiran ditawarkan.
REAKSI
Penerima Anugerah Graduan Akademik Terbaik (Ijazah Sarjana Muda), Nur Alya Farhana Faizal, 25.
“Saya melanjutkan pengajian di UCAM kerana ayah yang mengetahui kewujudan kolej universiti ini melalui iklan di WhatsApp yang menyebabkan saya tertarik untuk mengikuti kursus pengajian di sini.”
Penerima Anugerah Graduan Kokurikulum Terbaik, Siti Nur Aisyah Norhata,25.
“Saya berterima kasih kepada RISDA wujudkan UCAM untuk membantu anak pekebun kecil dan saya meneruskan minat dalam bidang pertanian.”