'Setiap malam tidur dalam ketakutan' - Wanita kongsi pengalaman dibuli 20 tahun lalu

Iklan
Hajar.

SHAH ALAM - Pengalaman pahit dibuli pada usia muda masih menghantui seorang wanita meskipun ia berlaku hampir dua dekad lalu.

Hajar Johari, 28, berkata, walaupun masa telah berlalu, kenangan itu tetap segar seolah-olah ia baru sahaja berlaku semalam.

Iklan
Iklan

Katanya, segalanya bermula pada tahun pertama persekolahannya di Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah agama bukan asrama penuh.

"Pada awalnya, saya menyangka kehidupan di sekolah itu akan berjalan lancar. Namun, selepas hanya dua minggu, segalanya berubah. Dalam tempoh enam bulan, saya melalui hari-hari penuh ketakutan dan tekanan, sehingga memaksa saya berkeras dengan ibu bapa untuk memohon pertukaran sekolah.

Iklan

"Keadaan bertambah begitu teruk sehingga saya terpaksa mengugut ibu bapa jika tidak dipindahkan, saya akan membunuh diri. Ancaman itu bukan kerana mahu menarik perhatian, tetapi jeritan minta tolong daripada seorang remaja yang sudah berada di titik akhir kekuatan mental," katanya kepada Sinar Harian.

Hajar berkata, kisah hitam itu bermula apabila seorang rakan sekelas meluahkan rasa rendah diri kerana memiliki kulit yang sedikit gelap.

Iklan

Ujarnya, dengan hati ikhlas, dia cuba memberi kata-kata motivasi agar rakannya tidak terus tertekan.

"Namun, niat baik itu disalah erti. Rakan itu membawa cerita berbeza kepada 'kakak angkat' di asrama, memutarbelitkan keadaan sehingga mencetuskan kemarahan pelajar senior. Dari situ bermulalah episod buli yang panjang dan memeritkan.

"Macam-macam cara mereka lakukan pada saya. Pernah satu ketika, saya disuruh duduk di tengah dewan seorang diri. Lebih 30 senior mengelilingi saya, memaki hamun, mentertawaka, dan mengherdik tanpa belas kasihan. Banyak kali saya dipanggil hanya untuk dihina beramai-ramai. Setiap hari saya datang sekolah dengan hati berdebar, takut bila lagi saya akan menjadi sasaran," katanya.

Menurut wanita tersebut, enam bulan itu bukan sekadar sukar tetapi menjadi luka emosi yang mendalam.

Setiap malam, katanya, tidur dengan rasa takut dan ketika pagi bangun dengan rasa ingin menghilang dari dunia.

Bagi Hajar, buli bukan perkara kecil yang boleh dianggap sebagai lumrah sekolah atau adat budak-budak, ia adalah penderaan — sama ada secara fizikal atau mental — yang meninggalkan kesan jangka panjang.

"Ramai mangsa buli membesar dengan masalah keyakinan diri, trauma sosial dan kemurungan. Buat pembuli, Hajar mengingatkan, ALLAH Maha Adil. Kalau tidak terkena pada kita, mungkin suatu hari akan terkena pada ahli keluarga atau anak kita sendiri. Jangan pernah rasa kebal dengan doa orang yang teraniaya.

"Kepada ibu bapa, sekiranya anak mengadu dia dibuli, dengar, percaya dan ambil tindakan. Jangan cakap ‘alah, biasa la tu’. Mental dan emosi anak akan tercalar sampai bila-bila. Jangan biarkan anak melawan seorang diri.

"Buat mangsa buli, beranikan diri. Kalau boleh lawan, lawan. Kalau tak mampu, simpan bukti. Bawa kepada ibu ayah, abang atau kakak dan laporkan kepada pihak yang sepatutnya. Kalau perlu, pindah sekolah. Jangan kekal di situ dan biarkan diri terus disakiti," titipnya.