KLANG - Tiga penumpang Perodua Alza terselamat selepas kenderaan yang dinaiki dirempuh dari belakang sebelum terbakar dalam kejadian di Kilometer 23.6 Lebuhraya Shah Alam (Kesas), di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 pagi membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Kia Carnival dan sebuah treler.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Alza yang berada di lorong kanan telah dirempuh dari belakang oleh sebuah Kia Carnival yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun bersama dua penumpang.
“Rempuhan itu menyebabkan Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 20 tahun bersama dua penumpang hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terbakar sepenuhnya.
“Kemudian, treler yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun di lorong tengah tidak dapat mengelak sebelum melanggar serpihan dua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang Perodua Alza telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.
Tambahnya, tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan dalam insiden ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu, fokus kepada pemanduan serta mematuhi had laju yang ditetapkan,” ujarnya.