Pelan pembangunan bakat penjawat awam dibangunkan secara menyeluruh

Iklan
Para penjawat awam melafazkan ikrar pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20 "Perkhidmatan Awam MADANI" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Pelan pembangunan bakat sektor awam yang baharu akan memastikan semua skim perkhidmatan di negara ini dibangunkan secara menyeluruh sejak hari pertama penjawat awam melapor diri sehingga bersara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sebelum ini latihan dan kemajuan kerjaya dijalankan secara berasingan mengikut skim masing-masing, namun pendekatan baharu itu menyatukan proses pembangunan bakat di bawah satu pelan atau blueprint.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu akan memastikan penjawat awam kekal kompeten dalam menghadapi perubahan semasa termasuk era digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Semua skim perkhidmatan akan dilibatkan daripada hari pertama mereka menyertai perkhidmatan awam sehingga pencen. Dalam perjalanan itu, kita memerlukan modal insan yang kompeten melaksanakan tugas.

Iklan

“Pembangunan bakat ini diambil kira untuk memastikan penjawat awam bersedia menghadapi dunia baharu yang kini berada dalam era digital, era AI dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-20 di sini pada Jumaat.

Pada majlis sama, Wan Ahmad Dahlan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman insentif cuti mengerjakan haji kepada penjawat awam yang belum disahkan dalam perkhidmatan tetapi menerima tawaran menunaikan ibadat itu.

Iklan

"Kalau berdasarkan perkelilingan sebelum ini, mereka mesti berkhidmat ataupun disahkan dalam perkhidmatan baru boleh pergi.

"Jadi, keadaan itu akan merugikan penjawat awam yang mendapat tawaran kerana kita sedia maklum tawaran haji ini mengambil tempoh yang lama, terpaksa menunggu 30 tahun, 40 tahun.

"Kalau daftar sekarang ini pun mungkin hampir 90 tahun baru berpeluang untuk pergi," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan membuat bayaran insentif secara sekali bayar kepada penjawat awam yang melanjutkan pengajian menggunakan biaya sendiri sehingga ke peringkat diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau menegaskan, semua pengumuman itu sewajarnya disambut dengan peningkatan mutu perkhidmatan sebagai tanda balas budi kepada kerajaan.

"Saya percaya semua penjawat awam gembira dengan pengumuman ini dan saya juga ingin sekali lagi berpesan kepada semua di mana jua mereka berada supaya mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan agar apa yang telah diberikan oleh kerajaan dibalas dengan mutu perkhidmatan yang lebih baik daripada sebelum ini.

"Insya-ALLAH kali ini akan disahut oleh penjawat awam di seluruh negara," katanya.