SHAH ALAM - Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah selesai menyalurkan bantuan sewa rumah sementara bagi tempoh tiga bulan kedua kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bayaran fasa kedua bagi tempoh Julai hingga September itu telah dikreditkan kepada semua penerima pada 6 Ogos lalu.
Menurutnya, bantuan itu melibatkan seramai 144 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan pembayaran bernilai RM864,000.
“Penentuan senarai penerima dibuat selepas proses semakan semula data oleh Unit Pengurusan Bencana Petaling, Jawatankuasa Kecil Penyedia Data Mangsa dan wakil komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, beberapa faktor diambil kira seperti rumah telah siap dibaik pulih, mangsa merupakan penyewa dan telah berpindah atau tidak lagi memerlukan bantuan sewa sementara.
Ujarnya, bantuan itu adalah antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan mangsa sementara mengurus penempatan semula atau pembaikan rumah.
“Pelaksanaan ini diharap dapat memberi kelegaan sementara dan membolehkan mereka memfokuskan pemulihan kehidupan harian,” jelasnya.
Borhan turut meminta mangsa yang belum membuat tuntutan semula bantuan sewa supaya membuat semakan kelayakan, dan bantuan akan disalurkan sekiranya layak.
Katanya, seramai 365 KIR telah menerima bantuan itu pada fasa pertama dengan peruntukan sebanyak RM2.19 juta.
“Seramai 78 lagi KIR tidak memerlukan bantuan atas sebab tertentu termasuk telah menetap di rumah sendiri, mengalami kerosakan kecil, berada di luar negara atau menolak bantuan,” ujarnya.
Letupan pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah dan 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar.
Bagaimanapun, sebanyak 218 rumah lagi tidak terjejas, termasuk yang berada di Kampung Tengah, Puchong.