Hot FM cipta rekod ASEAN, bersiaran langsung dari dasar laut

Iklan
Kenangan bersiaran di bawah laut.

JIKA tahun lalu Bekpes Hot gah menawan puncak Kinabalu, kali ini pasukan penyampai popular itu sanggup ‘menyelam’ demi mencatat sejarah baharu

Empat penyampai stesen radio itu iaitu Khairy Jamaluddin (KJ), Johan, Fara Fauzana dan AG Azmeer nekad turun ke dasar laut Pulau Bidong pada kedalaman 10 meter selama 90 minit sambil bersiaran langsung, menjadikan Hot FM stesen radio pertama di Asia mencatat pengiktirafan 'First and Deepest Outdoor Underwater Live Radio Broadcast in Open Sea by Radio Personalities' daripada ASEAN Records.

Iklan
Iklan

Misi luar biasa itu bermula tepat jam 10 pagi dari Stesen Penyelidikan Alami Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama UMT Diving School dan sokongan Unit Tindak Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sejarah tercipta pada jam 12.30 tengah hari, disaksikan wakil ASEAN Records, Eldrick Koh yang menyerahkan sijil pengiktirafan kepada pasukan Bekpes Hot dan Pengarah Rangkaian Kumpulan Media Prima Audio, Shah Hayatudin.

Iklan

Menurut Pengarah Kandungan Kanan Hot FM, Raja Khairil Idris Raja Aznan, cabaran itu membuktikan keberanian dan semangat inovatif stesen tersebut.

Dari kiri: Pengarah Urusan ASEAN Records, Eldrick Koh, KJ, Fara Fauzana, Johan dan AG.

Iklan

“Selepas menawan puncak tertinggi di Malaysia, kami mahu mencabar kebiasaan dan kali ini menawan ‘dunia sunyi’ di bawah laut. Inilah cara kami kekal relevan dan dekat di hati peminat,” katanya.

Pengarah Program UMT, Prof Madya Dr Hasrizal Shaari, pula berkata kejayaan ini mengukuhkan potensi Pulau Bidong di peringkat nasional selain mempamerkan kepakaran UMT dalam bidang kelautan.

Lebih membanggakan, Hot FM turut menurunkan monumen berbentuk mikrofon dan studio mini bawah laut sebagai simbol kejayaan, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem marin.

Kejayaan ini tidak hanya menggabungkan hiburan, keberanian dan teknologi penyiaran, malah mengangkat jenama Hot FM sebagai peneraju industri yang sentiasa berani mencabar sempadan baharu.