SHAH ALAM – Siapa sangka ajakan berterusan seorang anak ke Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 membawa tuah berganda apabila ibunya pulang dengan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal Benelli Panarea.
Pemenang bertuah, Nurul Wahida Latip, 33, berkata, anak perempuannya, Damia Qaisara, 10, tidak henti-henti mengajaknya ke karnival tersebut selepas mendapat tahu mengenainya melalui risalah di sekolah.
Menurut pekerja swasta itu, mereka pada mulanya tidak bercadang untuk pergi kerana jiran memaklumkan karnival sesak dengan pengunjung susulan kemeriahan sambutannya.
"Bagaimanapun, kami pergi juga pada hari terakhir sebab anak hendak main aktiviti disediakan di karnival, sekali gus tidak menyangka akan menang kerana sudah balik awal disebabkan salah seorang anak meragam.
"Ketika hendak tidur dengan anak, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada pihak penganjur memaklumkan kemenangan dan ingat main-main sahaja,maka terus saya WhatsApp untuk dapatkan pengesahan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Terdahulu, Nurul Wahida ditemani suaminya, Nor Azwan Mohd Mustapa hadir ke Karangkraf di sini pada Jumaat untuk menerima hadiah motosikal terbabit sempena Karnival Siang Malam Karangkraf pada 25 hingga 27 Julai lalu.
Hadiah disampaikan oleh Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin bersama Eksekutif Kanan Pemasaran Sinar Harian, Hazwan Shaharuddin.
Nurul Wahida berkata, ia merupakan pengalaman kali pertama menyertai cabutan bertuah dan sebelum ini tidak pernah memenangi sebarang hadiah.
Jelasnya, mereka pernah merancang untuk membeli motosikal baharu untuk kegunaan harian, sekali gus mengangap kemenangan itu sebagai rezeki anak.
Justeru, Nurul Wahida memaklumkan, motosikal itu akan digunakan untuk menghantar anaknya ke sekolah.