Kes penyakit kulit meningkat di Gaza akibat gelombang haba

Iklan
Suhu yang melonjak tinggi ditambah dengan kekurangan bekalan air minuman telah meningkatkan risiko kesihatan kepada penduduk di seluruh Semenanjung Gaza. Gambar hiasan

ISTANBUL - Gaza kini mencatatkan peningkatan mendadak kes penyakit kulit berikutan gelombang haba yang melanda wilayah itu, kata Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya, pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau berkata, suhu yang melonjak tinggi, ditambah dengan kekurangan bekalan air minuman yang serius, telah meningkatkan risiko kesihatan kepada penduduk di semua peringkat umur di seluruh Semenanjung Gaza.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hospital-hospital kini menghadapi kesukaran mengendalikan peralatan perubatan penting kerana penghantaran bahan api telah dihentikan, sekali gus mengancam nyawa pesakit dan mangsa yang cedera.

Abu Salmiya menegaskan bahawa hospital berada pada tahap kritikal dan kegagalan mengoperasikan peralatan penyelamat nyawa boleh membawa kepada bencana besar.

Iklan

Beliau juga berkata, tentera Israel terus menyasarkan sekolah, hospital dan khemah pelarian, menyebabkan krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing dari hari ke hari. - Bernama-Anadolu

 

Iklan