Aduan pengaruhi pematuhan sijil halal

Iklan
ADUAN mengenai restoran atau produk yang tidak mematuhi peraturan pensijilan halal yang ditetapkan pihak berwajib merupakan hak pengguna. Foto Canva/Gambar kecil: DR MADIHATUN

Maklum balas dikemukakan masyarakat memberikan input penting dalam usaha menambah baik pematuhan pensijilan halal

KESEDARAN masyarakat terhadap status halal produk di Malaysia semakin meningkat, bukan sahaja dalam kalangan pengguna Islam, malah turut mendapat perhatian pengguna bukan Islam.

Fenomena itu sekali gus memberi isyarat kepada pengusaha termasuk yang bukan beragama Islam untuk memastikan produk mereka bebas daripada unsur syubhah demi menjaga kepercayaan pelanggan.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, maklum balas masyarakat khususnya dalam bentuk aduan memainkan peranan besar bagi menambah baik sistem pengurusan pensijilan halal di mana-mana agensi Islam.

Aduan masyarakat datang daripada pelbagai pihak seperti pelanggan, peniaga, usahawan atau pemerhati. Aduan dihantar melalui saluran seperti e-mel, telefon, kunjungan terus atau platform digital seperti ePINTAS.

Iklan

Antara aduan yang sering diterima termasuk penyalahgunaan logo halal, penggunaan istilah berkaitan halal tanpa kelulusan, masalah kebersihan premis dan pelabelan yang mengelirukan.

ADUAN dan maklum balas daripada masyarakat membolehkan kelemahan dalam pematuhan pensijilan halal ditambah baik dari masa ke masa. Foto Canva

Iklan

Aduan itu biasanya dibahagikan kepada dua kategori iaitu aduan melibatkan pemegang sijil halal dan aduan yang langsung tidak melibatkan pemegang memiliki sijil halal.

Cabaran pematuhan pensijilan halal

Bagaimanapun, kajian mendapati terdapat beberapa cabaran besar yang membantutkan kelancaran proses tindakan pengurusan pensijilan halal.

Kekurangan dokumen sokongan seperti gambar, resit atau maklumat jelas membuatkan siasatan sukar dijalankan.

Apabila isu ditularkan terlebih dahulu, ia kadangkala memberi peluang kepada pihak yang disiasat untuk ‘membersihkan’ bukti sebelum tindakan diambil.

Penambahbaikan dan strategi baharu

Pelbagai usaha penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh salah sebuah agensi Islam bagi menambahbaik pengurusan pensijilan halal, antaranya:

1 - Sistem e-cert

Membolehkan sijil halal dicetak terus oleh syarikat selepas kelulusan dalam sistem tanpa menunggu proses manual yang lama.

2 - Fast track

Kelulusan segera tanpa audit lapangan bagi permohonan yang tiada ramuan kritikal.

3 - Audit kombo

Gabungan semakan dokumen dan audit di tapak secara serentak untuk memendekkan tempoh kelulusan.

4 - Peningkatan piagam pelanggan

Memastikan semua aduan diberi maklum balas dalam tempoh tiga hari bekerja.

PENGGUNA boleh mengemukakan maklum balas seperti aduan melalui pelbagai saluran termasuk dalam talian kepada pihak berwajib. Foto Canva

Kesimpulannya, antara beberapa langkah penambahbaikkan bagi menjamin pengurusan pensijilan halal pada masa depan yang lebih bersistematik dan memudahkan untuk semua antaranya ialah menilai keberkesanan sistem digital seperti MyHalal dan ePINTAS serta membina model penglibatan masyarakat lebih menyeluruh dalam pemantauan isu halal.

Aduan yang disalurkan melalui saluran rasmi perlu diurus secara telus, cepat dan berkesan supaya keyakinan awam terus meningkat.

Kajian seperti itu diharap dapat menjadi rujukan kepada agensi-agensi Islam lain di seluruh negara untuk membina sistem pengurusan halal yang lebih responsif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus memastikan produk yang sampai kepada pengguna benar-benar memenuhi prinsip halalan toyyiban.

***DR MADIHATUN ZAINUDDIN merupakan Pensyarah Kanan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Islam, Umum dan Bahasa, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM)