Wanita ditemui mati di bumbung bangunan, dipercayai dirogol beramai-ramai

Iklan
Suspek utama bersama empat lagi individu dipercayai telah memberi mangsa dadah sehingga tidak sedarkan diri sebelum merogolnya secara bergilir-gilir.

RAJKOT – Seorang wanita yang ditemui mati di bumbung sebuah bangunan komersial di bandar Surendranagar, Gujarat, minggu lalu dipercayai menjadi mangsa rogol beramai-ramai oleh lima lelaki, selepas diberi dadah hingga tidak sedarkan diri.

Menurut laporan The Times of India, kejadian berlaku pada malam 7 Ogos lalu, apabila mayat wanita terbabit ditemukan dalam keadaan mencurigakan di atas bumbung kompleks berhampiran depoh bas Surendranagar.

Iklan
Iklan

Pada awalnya, pihak polis hanya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian akibat kemalangan.

Bagaimanapun, siasatan berubah arah selepas suami mangsa, berusia 41 tahun, tampil membuat laporan pada 12 Ogos mendakwa isterinya telah dirogol secara bergilir-gilir oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Iklan

Timbalan Superintenden Polis Sel SC/ST, Nikunj Patel berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi kejadian merakam seorang lelaki dilihat memikul wanita yang tidak sedarkan diri menuju ke bumbung bangunan terbabit.

“Hasil siasatan mendapati, suspek utama bersama empat lelaki lain dipercayai memberi bahan terlarang kepada mangsa sehingga tidak sedarkan diri sebelum merogolnya secara bergilir,” katanya.

Iklan

Menurutnya, suspek yang berjaya ditahan merupakan seorang buruh harian, tiada tempat tinggal tetap dan sering tidur di kawasan sekitar stesen bas.

Sumber polis memberitahu, mangsa berkahwin sejak empat tahun lalu dan suaminya bekerja sebagai buruh di bandar Dhrangadhra.

Difahamkan, mangsa meninggalkan rumah pada 5 Ogos atas sebab yang belum dikenal pasti dan dipercayai diserang sebaik tiba di Surendranagar.

Patel berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat serta keputusan analisis forensik organ dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Sekiranya siasatan mendapati kematian mangsa berpunca daripada serangan suspek, pertuduhan membunuh akan dikenakan,” tegasnya.