KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan memutuskan tindakan ke atas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung dakwaan mencabar Ahli Parlimen lain bertumbuk di luar Parlimen.
Johari berkata, beliau telah mengarahkan bukti video dan audio dari Parlimen diserahkan kepadanya untuk diteliti.
“Saya telah mengarahkan semua unit dalam Parlimen termasuk unit video, audio untuk memberikan saya bukti.
"Kalau ada bukti menunjukan bahawa perlakuan tersebut terjadi ataupun tindakan untuk menyerang jadi, saya akan mengambil tindakan tegas kali ini.
"Sebab anda boleh bercakap saya biarkan, saya tak mati (tutup) pun suara anda guna mikrofon. Anda orang politik, cakap lah. Tetapi apabila guna atau cuba menggunakan tindakan fizikal, saya rasa anda telah melampaui batas," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang memohon petua mengenai keselamatan ketika bersidang.
Sebelum ini ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada Rabu, berlaku kekecohan apabila Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengakhiri ucapannya dengan pantun yang menggesa pemimpin Pakatan Harapan (PH), terutamanya dari DAP, meletakkan jawatan dalam kerajaan.
Chong Zhemin (PH-Kampar) kemudian bangun untuk merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(1), mengenai isu-isu yang dibangkitkan tidak relevan dengan agenda perbahasan berkaitan RMK13.
Ketegangan memuncak apabila Awang dan RSN Rayer (PH-Jelutong) mahu keluar dari Dewan Rakyat.
Dalam pada itu Johari memberi jaminan akan membuat keputusan pada Isnin depan.
"Saya nak hentikan isu ini, tunggu sampai hari Isnin," tegasnya.