KAJANG - Kecewa dengan layanan diterima semasa belajar dan tertekan dengan kehidupan di Malaysia didakwa menjadi punca seorang wanita warga asing mengamuk dan mencederakan beberapa individu berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, wanita itu merupakan penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA).
“Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, seramai 11 orang saksi telah diambil keterangan termasuk mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, tiada rekod menunjukkan wanita itu mengambil sebarang ubat atau berada dalam keadaan kemurungan.
Namun begitu, katanya, suspek dilihat dalam keadaan tertekan dengan isu dan permasalahan yang dialami.
“Dua mangsa yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan stabil dan masih ditahan di wad,” ujarnya.
Dalam kejadian yang tular itu, wanita terbabit ditahan selepas mengamuk dan menyerang orang awam menggunakan pisau.
Kejadian kira-kira jam 11.58 pagi itu berlaku selepas suspek berusia 24 tahun memandu kereta secara cuai dan melanggar tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat.
Suspek kemudian keluar dari kereta sambil memegang sebilah pisau dan menyerang orang awam di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.