ALOR SETAR - Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas dan melaksanakan langkah pencegahan menyeluruh bagi membanteras kes buli di sekolah.
Pengerusi PAKU, Amirul Syahir Musa berkata, usaha membendung masalah itu yang kini dilihat semakin berleluasa perlu merangkumi lima aspek utama bagi memantapkan rohani dan akhlak pelajar.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sekolah menjadi tonggak utama dengan memastikan pelaku buli dikenakan tindakan tegas mengikut peraturan sedia ada.
“Aspek kedua, menerusi pendidikan nilai dan empati iaitu memperluaskan program pendidikan karakter di sekolah untuk membentuk sahsiah pelajar yang berakhlak.
“Seterusnya, penekanan perlu diberikan kepada sokongan kaunseling dengan menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan kaunseling profesional kepada mangsa dan pelaku,” katanya di sini pada Khamis.
Amirul Syahir berkata, aspek keempat ialah dengan memperkasakan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bersama pihak sekolah, ibu bapa, NGO dan komuniti setempat dalam memerangi budaya buli.
“Akhir sekali, perhebatkan kempen kesedaran dengan melaksanakan kempen besar-besaran secara berterusan di media arus perdana dan media sosial bagi membanteras buli, dedahkan risiko dan kesan terhadap pelaku dan mangsa,” katanya.
Menurutnya, budaya buli sama ada secara fizikal, lisan atau melalui media sosial adalah perbuatan tidak berperikemanusiaan selain bercanggah dengan nilai moral dan ajaran agama.
“Kes buli bukan hanya isu sekolah tetapi isu kemanusiaan yang memerlukan tindakan bersama seluruh masyarakat bagi membina generasi beradab, berempati dan berdisiplin,” katanya lagi.
Tegas beliau, PAKU turut menyeru semua pihak supaya segera melaporkan sebarang kejadian buli kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil sikap berdiam diri.
“Kami sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan persekitaran pembelajaran selamat untuk semua pelajar.
“Slogan ‘Buli bukan budaya kita’ wajar diketengahkan bagi mengingatkan masyarakat akan bahaya dan kesan jangka panjang perbuatan tersebut,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 6,208 kes buli membabitkan 11,594 pelajar sekolah direkodkan oleh KPM, setakat Oktober 2024 menerusi sistem Sahsiah Diri Murid (SDM).
Jumlah itu dilihat menurun berbanding 6,528 kes yang direkodkan pada tahun 2023 dan 3,883 kes pada tahun sebelumnya.