Serangan terhadap kanak-kanak tindakan kejam, gugat masa depan generasi

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM - Kes serang dan cederakan kanak-kanak membimbangkan dengan insiden yang berlaku bukan lagi terhad kepada kawasan terpencil, malah menular di persekitaran yang dianggap selamat.

Seperti yang berlaku ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat membeli belah di Putrajaya sekitar jam 1.45 petang, Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut Rafizi, kejadian berlaku ketika beliau, isteri dan anaknya mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah berkenaan.

Serangan sedemikian mungkin dilakukan oleh individu atau kumpulan yang memiliki pelbagai motif tersembunyi, ada yang berpunca daripada dendam peribadi, tekanan mental, kegagalan mengawal emosi, sehinggalah kepada agenda jahat yang dirancang rapi.

Iklan

Setiap kes bukan sahaja boleh meninggalkan kesan fizikal terhadap mangsa, malah menanam trauma mendalam yang boleh menghantui mereka seumur hidup.

Luka dan lebam mungkin sembuh, namun ketakutan, mimpi ngeri dan rasa tidak selamat boleh membentuk gangguan psikologi yang berpanjangan.

Iklan

Keadaan ini turut akan mengakibatkan kanak-kanak menjadi murung, hilang keyakinan diri bahkan mengalami kesukaran membina hubungan sosial pada masa depan.

Lebih buruk, serangan seperti ini mencetuskan kesan domino terhadap masyarakat.

Kepercayaan antara jiran dan komuniti terhakis, ibu bapa hidup dalam ketakutan dan suasana kejiranan yang dulunya mesra bertukar menjadi penuh curiga.

Dalam beberapa kes, motif tersembunyi yang terbongkar selepas siasatan menunjukkan adanya unsur eksploitasi, cubaan pengaruh jenayah terancang, atau malah penyalahgunaan kanak-kanak sebagai alat untuk tujuan tertentu.

Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memantau perubahan tingkah laku kanak-kanak, memperketat kawalan keselamatan kawasan dan segera melaporkan sebarang tindakan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Kesedaran dan tindakan pantas adalah benteng terakhir bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa kerakusan mereka yang sanggup menukar masa depan generasi kepada medan kepuasan nafsu dan kepentingan sendiri.