AKTRES jelita, Sophia Albarakbah menjelaskan tindakan membuat laporan polis terhadap insiden buli siber dan gangguan seksual yang dialaminya adalah demi memberi kesedaran kepada orang ramai, bukan sekadar untuk dirinya.
Selebriti berusia 32 tahun itu berkata, masih ada segelintir yang mempersoalkan keputusannya membuat laporan, namun Sophia percaya tindakan tersebut penting untuk menunjukkan bahawa buli dan gangguan seksual tidak sepatutnya dinormalisasi.
“Ada yang kata saya mengada-ngada. Mungkin mereka tidak tahu dan tidak faham. Jadi saya perlu beri kesedaran supaya orang sedar bahawa buli siber ini tidak normal.
"Selepas saya kongsi di media sosial (gangguan yang dihadapi), ramai yang mula faham dan bersetuju ia memang melampau,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pengumuman duta baharu jenama Amber di Kuala Lumpur pada Selasa.
Tegas Sophia, isu buli siber dan gangguan seksual memberi kesan besar terhadap mental dan emosinya, sehingga dia berasa takut untuk membaca mesej atau komen yang diterima.
Namun dalam masa, bintang Lelaki Itu berusaha keluar dari trauma yang dihadapi dengan menghabiskan masa bersama keluarga dan haiwan peliharaan sebagai cara untuk memulihkan diri.
“Saya takut nak buka mesej, sampai saya minta peguam saya yang baca. Mereka yang bukan mangsa pun terkesan bila membaca, apatah lagi saya yang mengalaminya.
"Cuma saya tetap keluar bekerja, bertemu orang. Bila ada masa lapang, saya rasa selamat bersama orang-orang yang saya percaya. Kucing-kucing saya seakan faham perasaan saya, bila sedih mereka akan datang dekat. Mereka ada cara tersendiri untuk membuatkan saya rasa lebih baik,” ujarnya.
Sophia berkata, tindakan membuat laporan polis itu diambil untuk melindungi bukan sahaja dirinya, tetapi juga golongan lain yang mungkin mengalami situasi sama namun tidak berani bersuara.
Apatah lagi, buli juga telah membawa kepada kematian termasuk kes seorang influencer, Asha Shikhala, yang dipercayai menamatkan hidup akibat tekanan dibuli di media sosial.
“Ramai yang rasa mereka keseorangan bila dibuli. Saya mahu mereka tahu, mereka tidak bersendirian. Sekurang-kurangnya sekarang mereka ada saya untuk berdiri menentang isu ini.
"Saya mahu semua pihak bekerjasama mengatakan tidak kepada semua bentuk buli, termasuk gangguan seksual.
“Buli juga boleh membawa kepada kematian, sama ada dibunuh atau mangsa mengambil nyawa sendiri. Kes seperti ini di Korea sangat tinggi, di Malaysia tidak setinggi itu tetapi ia sudah berlaku. Ini bukan perkara remeh,” tegasnya.
Berkongsi perkembangan selepas laporan polis di buat Jumaat lalu, Sophia akan hadir ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberi kenyataan lanjut.
Sophia turut menzahirkan penghargaan kepada rakan artis, peminat, dan semua yang mengambil berat tentang kes yang dihadapinya.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mengambil berat. Sokongan ini sangat bermakna buat saya,” katanya menutup bicara.