SEREMBAN - Semua penjawat awam di Negeri Sembilan diwajibkan memasang Jalur Gemilang di rumah masing-masing sempena Bulan Kebangsaan kali ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, arahan itu yang pertama kali dikeluarkan bertujuan menanam semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan penjawat awam.
"Saya telah wajibkan semua ketua jabatan memasang dua bendera di rumah masing-masing iaitu Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan manakala bagi penjawat awam pula satu Jalur Gemilang.
"Ia melibatkan kira-kira 7,000 penjawat awam dan mereka perlu memasangnya bermula arahan dikeluarkan hari ini sehingga 16 September( Hari Malaysia)," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Jelas beliau, Jalur Gemilang tersebut perlulah dibeli sendiri dan bukannya disediakan oleh kerajaan negeri.
Ditanya berkenaan pemasangan Jalur Gemilang di negeri ini menjelang sambutan 31 Ogos, beliau berpandangan keadaannya hambar dan masih belum memuaskan.
"Masih belum lagi memuaskan, masih hambar. Saya menyeru kepada rakyat di Negeri Sembilan, kibarkan Jalur Gemilang.
"Saya juga telah arahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengubah corak dan cara meletakkan Jalur Gemilang supaya lebih menarik, nampak kemeriahan sempena Bulan Kebangsaan ini," katanya.
Sementara itu, Aminuddin turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati memasang Jalur Gemilang bagi mengelak berlakunya kesilapan.