KAJANG – Polis menahan tiga individu termasuk seorang remaja perempuan selepas dipercayai terlibat dalam kes membuang bayi perempuan di sebuah stesen minyak di Batu 14, Hulu Langat di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pada jam 1.56 pagi.
“Pengadu mendakwa menemui seorang bayi perempuan berusia kurang seminggu dalam sebuah kotak berhampiran bangunan kedai di stesen minyak kawasan itu.
“Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan masih bernyawa dan sihat, sebelum dihantar ke hospital untuk pemantauan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Naazron berkata, hasil siasatan pihak polis telah menahan tiga individu berusia 16 hingga 39 tahun pada jam 5.35 petang Selasa.
“Hasil siasatan mendapati laporan itu adalah rekaan, apabila pengadu didapati bersubahat dengan seorang rakan lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang.
“Lelaki itu disyaki melakukan sumbang mahram dengan anak kandungnya berusia 16 tahun sehingga remaja itu melahirkan anak. Mereka kemudian dipercayai membuang dan menyembunyikan kelahiran bayi tersebut,” jelasnya.
Katanya, dua lelaki tempatan yang ditahan masing-masing mempunyai rekod lampau membabitkan dua kes dadah dan dua kes jenayah.
“Kedua-duanya direman sehari dan enam hari, manakala remaja perempuan itu diberi jamin polis dan kini dirawat di hospital.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(3) akta sama.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.