PELAWAK dan pelakon, Shahrol Azizie Azmi tampil memikul tanggungjawab sebagai orang tengah dalam usaha menyelesaikan kemelut saman fitnah membabitkan stesen televisyen Awesome TV dengan tiga rakan artisnya, iaitu Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu.
Shahrol, 41, berkata, tindakan itu diambil kerana rasa sayang terhadap industri seni, selain mahu membantu rakan-rakan yang tersepit.
“Apabila kawan-kawan artis dan kru lain mengadu, saya terpanggil untuk ke depan kerana melihat terlalu ramai yang terkesan, termasuk kru, bekas pekerja dan bukan artis sahaja.
“Lebih mengejutkan, kawan baik saya iaitu Ajak Shiro juga memberitahu tidak menerima bayaran daripada pihak sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam pada Isnin bukan bertujuan mengeruhkan keadaan, sebaliknya membincangkan jalan penyelesaian.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Mamak Puteh, Nizam Jentik Jentik dan pemilik Madness Film Sdn Bhd, Shafirulnizam Haron.
“Pertemuan ini bukan untuk mengeruhkan keadaan, tetapi mencari penyelesaian. Saya mewakili rakan-rakan yang terbabit, termasuk Mamat dan Mamu.
“Datuk Adam menjelaskan hal pembayaran adalah di bawah tanggungjawab pihak produksi luar dan bukan sepenuhnya Awesome TV kerana ada individu lain yang menguruskan hal tersebut.
“Kami hormat penjelasan itu kerana menurut beliau, tidak adil menyerang Awesome TV memandangkan kandungan diuruskan pihak produksi luar,” katanya.
Shahrol menambah, hasil perbincangan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak meneruskan saman dengan syarat penyelesaian dilakukan segera.
“Kami tidak boleh memberi tempoh terlalu lama kerana ada yang sudah menunggu bertahun-tahun.
“Setakat ini, hanya itu yang saya boleh kongsikan dan saya harap penyelesaian dapat dilakukan segera.
“Isu ini mungkin menjadi titik permulaan untuk kami menilai semula pendekatan, termasuk kontrak sebenar antara artis atau kru dengan pihak produksi, supaya tindakan diambil kepada pihak yang tepat,” ujarnya.
Shahrol sebelum ini pernah membantu menyelesaikan isu bayaran tertunggak membabitkan rakan artis lain, Atu, dan berharap usaha kali ini juga mencapai hasil positif.
Terdahulu, Awesome TV memfailkan saman terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah sehingga menjejaskan imej dan reputasi stesen berkenaan.
Menurut syarikat itu, dakwaan tersebut melibatkan kegagalan Awesome TV melunaskan bayaran artis, sedangkan semua program yang disiarkan diterbitkan oleh syarikat produksi luar, dan urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab pihak produksi tersebut sepenuhnya.