RCI langkah terbaik dapatkan keadilan kes Zara Qairina

Iklan
Bersatu Hulu Langat gesa penubuhan segera RCI bagi kes kematian Zara Qairina.

HULU LANGAT – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, yang disifatkan menguji tahap keyakinan rakyat terhadap integriti agensi penguat kuasa serta pentadbiran negara.

Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, Sidang Khas Dewan Rakyat wajar diadakan segera bagi membentangkan usul penubuhan RCI tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usul itu juga perlu disertakan proses undian bagi mendesak Perdana Menteri menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI.

“Setelah siasatan bagi tujuan mencari fakta (fact-finding) melalui RCI selesai, kerajaan wajar melantik peguam luar atau swasta mengendalikan kes ini.

Iklan

“Langkah ini penting memandangkan kes ini berprofil tinggi serta mungkin melibatkan pihak berkepentingan atau individu berstatus VVIP, justeru memerlukan pengendalian yang teliti dan berintegriti bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada cara lain untuk memulihkan keyakinan rakyat selain melaksanakan langkah itu memandangkan kerajaan sebelum ini gagal menangani penyiasatan secara telus dan adil.

Iklan

“Rakyat akan menilai pihak yang menolak penubuhan RCI bagi kes sepenting ini yang melibatkan nyawa seorang warganegara. Situasi ini merupakan ujian terhadap kerajaan dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat,” tambahnya.