BANTAENG - Seorang pemandu pikap yang juga penjual sayur mendakwa ditampar oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) selepas didapati mengibarkan bendera animasi popular One Piece pada kenderaannya.
Kakak mangsa, Dandy Thoriq berkata, kejadian pada Khamis lalu itu melibatkan adiknya, Pardi, yang berniaga sayur di Terminal Sasayya, Bantaeng.
“Seperti biasa adik saya membawa sayur menggunakan pikap. Sebelum masuk terminal, seorang anggota TNI menahan kenderaannya, mengambil gambar nombor plat, bendera serta gambar adik, isteri dan anaknya,” katanya.
Menurut Dandy, anggota TNI itu kemudian menyoal mengenai bendera tersebut.
“Dia tanya ‘Kau warga negara apa?’ sambil menampar adik saya. Adik saya memang peminat One Piece sejak lama,” katanya.
Keluarga mangsa sudah membuat laporan di Kodim 1410/Bantaeng.
Walaupun pelaku memohon untuk berdamai, keluarga enggan menandatangani surat perdamaian selagi belum ada rakaman video permohonan maaf kepada mereka dan masyarakat.
“Kalau mahu berdamai, pelaku perlu membuat video permohonan maaf kepada keluarga saya dan seluruh masyarakat,” ujar Dandy.
Beliau berkata, insiden itu menyebabkan adiknya dan isteri terpaksa berhenti berniaga sementara, walaupun Pardi merupakan pencari nafkah utama keluarga.
Segelintir penduduk Indonesia baru-baru ini dipercayai mengibar bendera siri animasi One Piece sebagai membantah situasi yang terjadi di Indonesia seperti amalan rasuah dan kemelesetan ekonomi. - Agensi