Tujuh warga asing diarah patah balik di sempadan Malaysia-Thailand

Iklan
Kesemua individu terbabit ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam selepas disyaki bukan pelancong tulen.

BUKIT KAYU HITAM – Cubaan tujuh warga asing untuk memasuki negara ini tanpa memenuhi syarat kemasukan sah berjaya digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam pada Ahad.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua individu terbabit ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas disyaki bukan pelancong tulen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati mereka tidak memenuhi syarat seperti yang ditetapkan dalam Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen (ATKPI) berkaitan Notis Penolakan Masuk (NPM), selain ada yang menggunakan pas sempadan yang rosak dan tidak memiliki pasport sah.

“Enam daripada mereka merupakan warga Thailand terdiri daripada dua wanita dan empat lelaki manakala seorang lagi ialah wanita warga India.

Iklan

“Semua diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, penolakan kemasukan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63 kerana mereka tidak memenuhi syarat sebagai pelawat ke negara ini.

Iklan

“Penolakan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pekeliling jabatan yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya.

Tambah beliau, tiada rampasan dilakukan dan tiada unsur jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti dalam kes berkenaan.