GUA MUSANG – Ibu kepada mangsa kemalangan maut pengsan sebanyak empat kali selepas menerima berita dua anak dan dua cucunya terkorban dalam kejadian membabitkan kereta dengan sebuah treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang–Kuala Krai berdekatan Felda Chiku 1 di sini pada Isnin.
Shahima Hamid, 54, rebah dan pengsan sebaik dimaklumkan mengenai pemergian anak keduanya, Muhammad Faiz Nor Amran, 32; anak kelima yang juga anak perempuan tunggal keluarga itu, Nor Aina Imra, 21, serta dua cucu, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5, dan Muhammad Aydan Fattah, 4.
Menantunya yang juga isteri Muhammad Faiz, Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, yang memandu kereta itu pula mengalami kecederaan parah.
Suami Shahima, Nor Amran Mat Nor, 58, berkata, anak kedua mereka itu bukan sahaja menjadi abang dalam keluarga, malah tempat bergantung adik-beradik lain kerana sifatnya yang penyayang dan sentiasa membantu.
“Isteri saya pengsan tiga kali selepas tahu berita dan sekali lagi ketika buat pengecaman mayat. Dia memang sangat rapat dengan anak-anak kami.
“Muhammad Faiz pula walaupun sudah berkeluarga, dia selalu bawa adik-adik keluar jalan-jalan dan jadi penghubung yang eratkan hubungan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Gua Musang di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, keempat-empat mangsa maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler.
Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas selepas menghadiri Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor dan menziarahi ibu saudara di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Menurut Nor Amran, Muhammad Faiz bekerja sebagai pengangkut barang manakala isterinya menjalankan perniagaan dalam talian dan tinggal bersama keluarga di Pasir Mas.
“Ini kehendak ALLAH, saya reda kerana ALLAH lebih sayangkan mereka dan yakin ada aturan ALLAH yang lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, adik keempat arwah Muhammad Faiz, Muhammad Fakris Nor Amran, 23, yang sedang bercuti semester tahun kedua pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia sempat menghubungi Nor Aina Imra juga penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) pada jam 7.40 pagi.
“Selepas itu, ibu pula pula bercakap dengan abang melalui telefon.
“Dalam setengah jam kemudian, kami dapat berita mereka kemalangan,” katanya.
Muhammad Fakris berkata, tiga hari lepas, dia mengajak Nor Aina Imra yang juga sedang bercuti semester untuk makan mi celup tetapi perasan perubahannya tidak selera makan dan hanya memesan mi segera telur rebus.
“Saya juga tempah gelanggang untuk bermain badminton bersamanya pada Jumaat malam tetapi dia tidak mahu dan ingin mengikut abang kedua ke Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, kesemua jenazah dijangka dibawa pulang ke kampung halaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tok La, Pasir Mas selepas selesai bedah siasat.