GABUNGAN warna, emosi dan seni fotografi menjadi tarikan utama Pameran Ekspresi Emosi Warna 2025 (EEW2025) yang kini berlangsung di Galeri Shah Alam bermula 21 Julai hingga 28 Ogos depan.
Menampilkan 106 karya fotografi pelbagai genre, pameran ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Alumni Fotografi ITM/UiTM (FOKUS) dan Angkatan Senifoto Wilayah Persekutuan (ASFON WP) dengan sokongan Galeri Shah Alam dan rakan strategik Sony Malaysia.
Pengarah Projek EEW2025, Shamsul Kamal Zakaria berkata, pameran kali ini bukan sekadar tontonan seni tetapi juga medan untuk para jurufoto mengetengahkan bakat dan karya mereka kepada masyarakat.
“Pameran ini menghimpunkan pelbagai genre fotografi, menggabungkan gaya kreatif, ekspresi artistik dan naratif visual yang menekankan warna sebagai bahasa emosi.
"Tujuannya adalah untuk memartabatkan seni fotografi sebagai medium visual yang diiktiraf dan memberi motivasi kepada jurufoto untuk terus berkarya sehingga mampu mengadakan pameran solo pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan ketika majlis perasmian pameran itu baru-baru ini.
Majlis perasmian pameran ini disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Gerald Hans Isaac yang turut meluangkan masa meninjau satu persatu hasil karya yang dipamerkan.
Kehadirannya memberi suntikan semangat kepada penganjur dan peserta untuk terus berkarya dan mengangkat seni fotografi tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Shamsul Kamal turut menambah bahawa EEW2025 menjadi bukti bagaimana seni visual mampu berperanan sebagai medium komunikasi yang berkesan, merakam sejarah dan membina naratif budaya melalui kepelbagaian warna.
Setiap foto memaparkan kegembiraan, ketenangan, kesedihan, keberanian, malah ada juga yang membangkitkan rasa nostalgia, bagaikan mempunyai cerita tersendiri, menjadikan pengunjung terpaku lebih lama di hadapan bingkai-bingkai tertentu.
Selain menghayati karya, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan fotografi terbuka, sesi perkongsian ilmu bersama jurufoto profesional, dan bengkel teknik fotografi asas.
Aktiviti ini diadakan bagi menggalakkan interaksi antara pencinta seni, jurufoto berpengalaman, dan masyarakat umum yang ingin mengenali dunia fotografi dengan lebih dekat.
Pameran ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum) dengan kemasukan adalah percuma.