Audit keselamatan 3 bulan, KPM tegas hukum pelaku buli

Iklan
KPM akan laksana audit keselamatan di semua sekolah, SBP dan asrama serta perketat tindakan terhadap kes buli. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan audit keselamatan di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian bagi memastikan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil laporan audit berkenaan akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan bagi membolehkan tindakan susulan diambil segera.

“Langkah ini turut disertai usaha menambah baik SOP keselamatan sekolah serta menangani isu disiplin termasuk salah laku buli agar ia relevan dengan keperluan semasa dan masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, KPM juga akan mereformasi sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli supaya lebih mudah diakses selain menyediakan pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

Jelasnya, Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan KPM akan ditubuhkan bagi memperkasa aspek keselamatan sekolah melalui penglibatan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, polis serta Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).

Iklan

“KPM tidak akan berkompromi terhadap salah laku buli. Tindakan tegas akan diambil termasuk hukuman gantung dan buang sekolah,” tegasnya.

Dalam masa sama, katanya, KPM memperkenalkan program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ khusus untuk murid yang digantung sekolah dengan penekanan kepada khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah.

Menurutnya, pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang gagal mengurus aduan buli mengikut garis panduan sedia ada juga akan dikenakan tindakan.

Beliau menegaskan, aspek sokongan psikososial akan terus diperkukuh di setiap peringkat dengan guru bimbingan dan kaunseling memainkan peranan penting dalam pencegahan serta intervensi menangani salah laku buli.

KPM turut menyeru semua pihak agar bersama-sama menangani isu buli secara menyeluruh dan bersepadu kerana usaha mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat merupakan tanggungjawab bersama.