Australia umum iktiraf negara Palestin di PBB bulan depan

Iklan
Perdana Menteri Anthony Albanese (kanan). Foto Agensi

CANBERRA – Kerajaan Australia akan mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan, kata Perdana Menteri Anthony Albanese.

Dalam sidang media di Canberra pada Isnin, Albanese berkata penyelesaian dua negara adalah harapan terbaik untuk memutuskan kitaran keganasan di Asia Barat serta menamatkan konflik, penderitaan dan kebuluran di Gaza.

Iklan
Iklan

“Kita mesti mencari jalan politik untuk membawa keamanan yang berkekalan,” katanya.

Pengumuman ini sekali gus mengesahkan pendirian Australia untuk menyokong pengiktirafan Palestin di peringkat antarabangsa.

Iklan

Australia sebelum ini mengekalkan pendirian dwipartisan bahawa Israel dan Palestin harus hidup berdampingan secara aman di bawah penyelesaian dua negara dalam sempadan yang diiktiraf antarabangsa.

Namun, apabila beberapa sekutu Australia termasuk United Kingdom, Perancis dan Kanada menyatakan kesediaan mengiktiraf Palestin bulan depan, desakan semakin meningkat agar Canberra mengikut langkah tersebut.

Iklan

Pengiktirafan Australia tidak akan mengubah kedudukan undang-undang Palestin secara serta-merta, namun langkah itu dianggap bersejarah dan akan menambah tekanan kepada Israel serta Amerika Syarikat untuk mencari jalan penyelesaian.

United Kingdom juga menyatakan akan mengiktiraf Palestin pada mesyuarat PBB September ini melainkan Israel bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza dan meneruskan bantuan kemanusiaan.

Kanada dan Perancis turut mengumumkan hasrat mengiktiraf Palestin dengan syarat Hamas tidak terbabit dalam pentadbirannya.

Jika Perancis dan United Kingdom mengiktiraf Palestin, Amerika Syarikat akan menjadi satu-satunya anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang belum berbuat demikian. - Agensi