GEORGE TOWN – Datuk Azizee Ismail dilantik secara rasmi sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Datuk Seri Hamzah Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Majlis pemakaian pangkat dan serah tugas jawatan itu berlangsung di Mess Pegawai Kanan Polis Pulau Pinang di sini disaksikan Pengarah Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.
Sebelum ini, jawatan Ketua Polis Pulau Pinang dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Azizee, 59, berasal dari Pasir Mas, Kelantan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Disember 1991.
Sebelum dilantik ke jawatan ini, beliau memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan Bukit Aman sejak 22 Julai 2024.
Sepanjang hampir 32 tahun dalam pasukan, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah Dasar Sumber Manusia, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi, serta Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 2007 hingga 2008.
Memiliki kelulusan Sarjana dan Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Azizee juga aktif dalam pengurusan korporat sebagai Ahli Lembaga Pengarah beberapa anak syarikat Koperasi PDRM Berhad.
Beliau turut menerima pelbagai anugerah termasuk Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada 2023, Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) pada 2019, dan Pahlawan Pasukan Polis (PPP) pada 2014, selain beberapa anugerah perkhidmatan cemerlang.
Bercakap kepada media selepas majlis tersebut, Azizee berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan ketua jabatan dan ketua polis daerah dalam masa terdekat untuk penambahbaikan pelan yang sedia ada.
Beliau turut berhasrat mengekalkan semua pelan yang sedang dilaksanakan.
"Hari ini adalah hari pertama saya di sini sebagai Ketua Polis Pulau Pinang. Saya akan melakukan penambahbaikan selepas berjumpa dengan ketua jabatan dan ketua polis daerah.
“Berdasarkan situasi semasa, saya akan mengekalkan dasar yang ada manakala sebarang penambahbaikan akan dibuat selepas perbincangan," katanya.
Beliau turut memaklumkan kadar jenayah di daerah Timur Laut kini dilaporkan menurun berbanding sebelum ini.
Oleh itu, Azizee berkata, pihaknya akan berusaha mengekalkan pencapaian tersebut dan menurunkannya lagi ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.