WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan golongan gelandangan di ibu negara itu meninggalkan Washington DC atau berdepan pengusiran.
Beliau turut sambil berikrar menggunakan pegawai Persekutuan untuk melakukan tangkapan walaupun statistik menunjukkan kadar jenayah ganas berada pada tahap terendah dalam tempoh 30 tahun ketika mula memegang jawatan pada Januari lalu.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Ahad, Trump menulis: “Gelandangan perlu berpindah, segera. Kami akan sediakan tempat tinggal, tetapi jauh dari ibu negara.”
Hantaran itu dimuat naik tidak lama selepas beliau bertolak dari Rumah Putih menuju kelab golf miliknya di Sterling, Virginia.
Trump turut berkongsi empat gambar yang dipercayai dirakam dari dalam konvoi presiden, memaparkan khemah golandangan di tepi lebuh raya berhampiran Rumah Putih, seorang lelaki tidur di tangga sebuah bangunan serta sampah di tepi jalan.
Trump turut mempromosikan sidang media yang dijadualkan pada Isnin, dengan dakwaan ia akan “menghentikan jenayah ganas” di Washington DC, selain membincangkan isu kebersihan.
Pergerakan Free DC yang memperjuangkan hak menentukan nasib sendiri segera mengumumkan protes bagi membantah kenyataan presiden itu.
Menurut The Community Partnership, badan yang membantu mencegah gelandangan di Washington DC, terdapat kira-kira 800 individu tidur di jalanan pada setiap malam, manakala 3,275 lagi menggunakan pusat perlindungan kecemasan dan 1,065 menetap di fasiliti perumahan sementara.
Data polis menunjukkan kadar jenayah ganas di bandar itu pada 2024 menurun 35 peratus berbanding 2023, menjadikannya yang terendah sejak lebih tiga dekad.
Datuk Bandar Washington DC, Muriel Bowser berkata, jenayah ganas terus menurun 26 peratus pada tahun ini.
Awal minggu ini, Trump mengarahkan penambahan pegawai persekutuan dari pelbagai agensi untuk membuat rondaan di Washington DC, merujuk insiden serangan terhadap seorang pekerja muda kerajaan yang datang bekerja dengan Elon Musk.
Bagaimanapun, polis tempatan mengesahkan mereka telah menghentikan serangan itu di lokasi dan menahan dua suspek remaja berusia 15 tahun.
Jurucakap Rumah Putih enggan menjelaskan kuasa undang-undang yang akan digunakan Trump untuk mengusir golandangan, memandangkan presiden hanya mempunyai kuasa ke atas tanah dan bangunan persekutuan di bandar itu.