GUA MUSANG - [DIKEMAS KINI] Empat sekeluarga maut termasuk dua kanak-kanak, manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Utama, Felda Chiku 1 di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kereta jenis Honda EK yang dinaiki lima mangsa bertembung dengan treler menyebabkan semua penumpang kereta tersepit.
Mangsa yang maut ialah Muhammad Faiz Nor Amran, 32; adiknya, Nor Aina Imra Nor Amran, 21; serta dua anak lelaki Muhammad Faiz, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5, dan Muhammad Aydan Fattah, 4.
Isteri Muhammad Faiz, yang juga pemandu kereta, Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, PBK II Nik Mohd Fakri Md Nawi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS sebelum bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer.
“Setiba di lokasi pada jam 9.34 pagi, didapati lima mangsa tersepit dalam kereta.
"Seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia, manakala seorang wanita yang memandu kereta berkenaan berada dalam keadaan parah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Operasi turut disertai sembilan anggota dari BBP Gua Musang dengan kekuatan logistik sebuah jentera Tender Penyelamat Kebakaran, kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan, dan sebuah Kenderaan Respons Pertama jenis Mitsubishi Triton.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Tuan Nor Syuhada terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler.
“Semua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut,” katanya.