PEMAIN import baharu PDRM FC, Park Tae-su menaruh harapan untuk berada dalam kelompok lima penjaring terbanyak kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Impian tersebut bukan sekadar angan-angan, sebaliknya pemain yang berasal dari Korea Selatan itu sudah membuktikanya pada aksi sulung The Cops.
Bekas pemain Sabah FC sudah membuka akaun jaringan apabila membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat pendatang baharu Liga Super, DPMM FC 2-2 di laman sendiri pada Sabtu.
Biarpun beraksi sebagai pemain pertahanan Tae-su mempunyai penyudah yang tajam dan baik apabila meledak dua gol dalam tempoh empat minit.
“Sasaran saya pada musim ini 'top 5', tetapi sasaran peribadi 10 gol. Sebab dahulu (ketika bersama Sabah) saya ada lapan gol,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, pasukan pelawat terlebih dahulu di depan menerusi Ramadhan Sananta pada minit ketiga disusuli aringan Miguel Oliveira tiga minit kemudian.
Tae-su yang sudah berkelana di Malaysia sejak 2019 dilihat mampu mencapai sasaran tersebut kerana mempunyai pengalaman yang luas di liga domestik.
Skuad The Cops akan berkunjung ke Pantai Timur untuk meneruskan aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.