SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menghadiahkan sebuah karya seni khas bertajuk 'Rise Up Together' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kelahiran beliau ke-78 pada Ahad.
Menurut Kor Ming yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), hadiah berbentuk arca itu ditempah khas semasa lawatan rasminya ke Nairobi, Kenya untuk menghadiri perhimpunan agung pertubuhan berkenaan baru-baru ini.
"Satu penghormatan besar buat saya untuk memberikan Perdana Menteri hadiah hari jadi yang bermakna iaitu sebuah arca istimewa dinamakan ‘Rise Up Together’ yang melambangkan perpaduan dan keharmonian negara kita dalam kepelbagaian.
"Karya seni ini mewakili kekuatan dan perpaduan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama yang berdiri bersama sebagai satu, sejajar dengan visi teras kerajaan Malaysia Madani untuk menyatukan negara dan memimpinnya ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP menambah, pentadbiran Madani yang dipimpin Anwar juga telah membawa kestabilan politik sepanjang dua tahun kebelakangan ini, sekali gus menamatkan tempoh ketidaktentuan yang menyaksikan tiga Perdana Menteri bertukar dalam tempoh empat tahun.
Menurutnya, ketika ini juga ekonomi negara semakin berkembang dengan nilai ringgit mengukuh dan kedudukan daya saing global turut meningkat ketara, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan yang betul.
"Kita mesti terus memelihara perpaduan dan keharmonian untuk memastikan keamanan dan kemajuan yang berkekalan,” katanya.
Ujarnya, kesungguhan Anwar untuk memperjuangkan keterangkuman dalam negara juga terbukti apabila rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini menjadi lebih bersatu padu, makmur dan progresif.
Malah katanya, kepimpinan Malaysia juga terserlah di pentas antarabangsa di bawah kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu.
“Saya yakin bahawa di bawah pimpinan beliau, kita akan merealisasikan visi ‘Rise Up Together’ dan menjadikan Malaysia sebuah negara contoh dalam keharmonian," katanya.