SERDANG – Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan Program Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya (HTKSJ) edisi ketiga yang digabungkan dengan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana di AEON Taman Equine di sini pada Ahad.
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, program selama dua hari anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) itu merupakan edisi ketiga daripada empat siri yang dijadualkan tahun ini dengan tumpuan khas di sekitar Seri Kembangan.
Menurutnya, edisi pertama diadakan di Taman Tasik Seri Serdang, edisi kedua di South City Plaza manakala edisi terakhir akan berlangsung di Ibu Pejabat MBSJ sempena ulang tahun kelima MBSJ.
“Alhamdulillah, program kali ini lebih istimewa kerana kita berkolaborasi dengan PPD Petaling Perdana yang turut membawa guru-guru serta murid-murid menyertai pelbagai aktiviti,” katanya kepada media.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimi Azmi dan Pegawai Pendidikan Dearah Petaling Perdana, Che Wan Rohaini Ramly.
Beliau berkata, kerjasama itu memberi peluang pelajar menonjolkan bakat serta mempamerkan kemahiran yang dipelajari melalui pertandingan koir sekolah rendah, pertandingan bicara berirama (choral speaking) dan pelbagai aktiviti pendidikan lain.
Tambahnya, penganjuran secara bersama juga berpotensi diperluaskan dengan kerjasama AEON serta agensi lain bagi memperkukuh jaringan komuniti dan memeriahkan lagi program akan datang.
Program kali ini turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti larian santai sejauh lima kilometer (km), kayuhan santai sejauh 15km, senamrobik, pemeriksaan kesihatan percuma, eksplorasi sekolah sihat dan lestari, pertandingan mewarna kanak-kanak serta eco free market.
Selain itu, MBSJ dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Serdang, Pusat Khidmat ADUN Seri Serdang turut mengadakan pameran pelbagai agensi, bazar makanan, penyerahan anak pokok kepada sekolah dan pemeriksaan kesihatan percuma sebagai usaha memupuk kesedaran gaya hidup sihat.
Sebagai inisiatif sosial, program Jelajah Kembali ke Sekolah 2025 anjuran Menteri Besar Incorporated (MBI) bersama Dewan Negeri Selangor (DNS) Seri Serdang turut diadakan dengan pemberian bantuan tunai RM100 kepada 100 pelajar B40 bagi persiapan persekolahan.
HTKSJ kali ini juga diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dengan elemen patriotisme bagi memupuk semangat cintakan negara selain menggalakkan penyertaan masyarakat setempat dalam aktiviti riadah dan pendidikan.
Penganjuran HTKSJ 2025 diharap dapat menyokong usaha MBSJ untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti kesejahteraan kesihatan; pendidikan berkualiti; tenaga bersih mampu milik; pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi; pengurangan ketidaksamaan; komuniti lestari dan perkongsian untuk matlamat bersama.
“Kolaborasi seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi malah memberi manfaat besar kepada komuniti. Saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Amirul Azizan.