SHAH ALAM – Inisiatif air percuma Skim Air Darul Ehsan (SADE) memberi kelegaan kepada segenap lapisan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menyerap sebahagian kos sara hidup.
Kamarul Ariffin Othman, 70, yang menikmati pemberian 20 meter padu air percuma sebulan hampir sedekad lalu menyifatkan ia meringankan beban orang ramai termasuk pesara sepertinya.
“Skim ini membantu kami yang bersara. Dengan kenaikan had pendapatan dan bantuan lain, memang ringan beban rakyat,” katanya merujuk skim yang membantu kira-kira 1.3 juta penduduk negeri itu.
Rosmawati Abdullah, 61, pula menyambut baik langkah untuk melonggarkan syarat kelayakan permohonan kepada isi rumah berpendapatan RM6,000 dan ke bawah mulai September.
“Dah naikkan kadar kepada 20 meter padu berbanding dulu hanya 10 meter padu dan syarat pendapatan pun naik. Kalau bil dalam RM60 sebulan, dapat kurangkan belanja sikit,” katanya.
Warga emas, Harith Abdul Majid, 72, juga menganggap langkah berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan asas orang ramai.
“Kami keluarga besar, kadang-kadang bil sampai RM180. Tapi dengan subsidi, memang sangat membantu,” katanya.
Berminat membuat permohonan, Ahirullzaman Mohamed Hasbullah, 42, yakin lebih banyak isi rumah layak menikmati manfaat air percuma selepas had pendapatan SADE dinaikkan.
“Kalau layak, saya nak mohon. Boleh kurangkan belanja dan bayar keperluan lain,” katanya.
Skim tersebut turut dihargai generasi muda seperti Rugayyah Mohamad Nazari Kusmajaya, 38, yang menganggap ia banyak memberi manfaat kepada anak yang menyara ibu bapa.
“Kami adik-beradik bantu bayarkan bil air mak. Dengan skim ini, beban jadi ringan. Ramai keluarga dapat manfaat, yang layak patut mohon,” katanya.
Pada 1 Ogos, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, mengumumkan had pendapatan isi rumah yang layak menerima SADE dilonggar daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
Permohonan mulai 8 Ogos boleh dibuat melalui pautan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd iaitu https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/