Penduduk 'berpayung' daun keladi, pisang demi solidariti Zara Qairina

Iklan
Penduduk menggunakan daun untuk berlindung dari hujan ketika menunggu proses mengali kubur Zara Qairina.

SHAH ALAM – Penduduk setempat sanggup bertahan dalam hujan lebat hanya beralaskan sehelai daun keladi atau daun pisang sebagai pelindung kepala demi menunggu proses penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir di perkarangan Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang, Sabah.

Beberapa individu terbabit dilihat berdiri berhampiran tali kuning bertulis ‘Dilarang Melintas’ sambil memegang daun-daun besar yang dijadikan ‘payung’ sementara ketika hujan mula membasahi tanah perkuburan.

Iklan
Iklan

Walaupun pakaian mereka sudah basah terkena hujan, masing-masing tetap menunggu dengan penuh kesabaran, seolah-olah hujan bukan penghalang untuk terus berada di situ. Situasi itu dapat disaksikan secara langsung menerusi siaran Facebook Sinar Harian.

Ada juga penduduk yang berkongsi dan berteduh di bawah payung yang sama, setia menunggu sehingga kerja-kerja selesai walaupun hanya berpeluang melihat dari jauh.

Iklan

Sementara itu, seorang penduduk memaklumkan dia turut menunggu proses penggalian semula kubur Zara Qairina sebagai tanda solidariti terhadap pelajar Tingkatan Satu tersebut.

Wanita itu yang merupakan penduduk setempat berkata, dia dan beberapa penduduk lain telah berada di kawasan berkenaan sejak jam 2 petang.

Iklan

Terdahulu, pengamal media dan penduduk setempat berkampung di pekarangan perkuburan tersebut bagi menyaksikan proses penggalian semula kubur Zara Qairina.

Proses penggalian semula itu mula dilakukan selepas permohonan perintah menggali kubur dibuat tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Perkara tersebut disahkan peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu kepada remaja perempuan terbabit, Noraidah Lamat, 45.