TAIPING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan susu getah seberat 900 kilogram (kg) menerusi satu operasi khas di sebuah premis di sini pada Jumaat.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan menerusi Op Intra itu dilakukan hasil risikan sejak dua bulan lalu dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Perbandaran Taiping dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
Menurutnya, pasukan operasi mengekori sebuah lori tangki membawa muatan susu getah dari Kedah sebelum tiba di sebuah premis di Taiping pada jam 2.30 pagi.
“Di premis berkenaan, suspek memindahkan susu getah menggunakan hos paip ke tangki IBC berkapasiti 1,000kg.
“Pemeriksaan mendapati pemandu lori tangki itu menjual 900kg susu getah dan menggunakan muslihat dengan menggantikan berat yang hilang kepada beberapa unit besi pemberat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Shahrum berkata, helah itu bagi memastikan pelanggan tidak menyedari pengurangan berat ketika proses timbang semula dilakukan.
Katanya, operasi yang berakhir pada jam 6 petang itu membawa kepada penahanan empat lelaki warga tempatan dan seorang warga Pakistan dalam lingkungan usia antara 32 hingga 59 tahun.
Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi itu kira-kira 35.4 tan susu getah, sebuah lori tangki, pelbagai jentera dan peralatan memindahkan susu getah, serta dua telefon bimbit pelbagai jenama dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM789,132.04.
“Siasatan mendapati seorang lelaki warga Pakistan melanggar syarat permit kerja di bawah Peraturan-Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya
"Empat lagi suspek dan barang rampasan diserahkan kepada LGM untuk siasatan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Perlesenan dan Permit) 2014,” katanya.
Jelas Shahrum, siasatan dibuat mengikut Peraturan 3(1)(a) yang melarang sebarang aktiviti membeli, menyimpan, menjual, memproses, membungkus atau mengeksport getah tanpa kebenaran serta Peraturan 7(1)(f) yang melarang pemegang lesen daripada membeli, menjual atau menyimpan getah daripada sumber yang diragui atau menyalahi undang-undang.
“PGA Briged Utara akan terus komited menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Masyarakat diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.