Pelajar berebut bergambar depan wang rasuah

Iklan
Pelajar teruja bergambar depan wang tunai 506.15 bilion rupiah yang dirampas dalam kes rasuah.

PALEMBANG - Sidang media di Pejabat Ketua Pendakwa Raya Tinggi (Kejati) Sumatera Selatan mencuri tumpuan apabila wang tunai berjumlah 506.15 bilion rupiah (RM148 juta) yang disita dalam kes rasuah dipamerkan secara terbuka kepada media.

Kebiasaannya ia berlangsung dalam suasana serius dengan kawalan ketat, namun sidang media kali ini berubah menjadi meriah dengan gelak tawa dan kilauan lampu kamera apabila wang tunai yang dibungkus rapi dalam plastik lutsinar disusun sebagai bahan pameran.

Iklan
Iklan

Wang itu adalah sebahagian daripada barang kes siasatan penyelewengan kemudahan pinjaman bank bernilai 1.3 trilion rupiah (sekitar RM382 juta) yang melibatkan dua syarikat swasta, PT BSS dan PT SAL.

Pelajar yang sedang menjalani latihan industri di pejabat Kejati tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan wang tunai yang dirampas. Foto Agensi

Iklan

Apa yang menarik perhatian adalah keterujaan pelajar sekolah menengah dan universiti yang sedang menjalani latihan industri di pejabat Kejati, apabila mereka mengambil kesempatan bergambar dengan timbunan wang yang dikawal ketat anggota tentera dan pendakwa raya.

“Saya tak pernah tengok wang sebanyak ini. Rasa luar biasa,” kata Kirani, pelajar Tingkatan 5 SMA Negeri 6 Palembang yang hadir bersama rakan-rakannya.

Iklan

Menurutnya, mereka mendapat keizinan kakitangan untuk bergambar selagi tidak menyentuh wang berkenaan.

Seorang lagi pelajar, Putri, berkata, gambar tersebut menjadi kenangan berharga sepanjang hayat.

Sementara itu, Penolong Khas Jenayah Khas Kejati Sumsel, Adhryansah memaklumkan wang tersebut merupakan hasil rampasan daripada siasatan kes pinjaman yang membawa kepada kerugian negara melebihi 1.3 trilion rupiah.