RAIPUR – Seorang lelaki ditahan polis di Bastar selepas disyaki merogol dan membunuh secara kejam seorang wanita berusia 45 tahun dengan mencederakan bahagian sulit mangsa menggunakan botol arak.
Mayat wanita malang itu ditemui dalam keadaan bogel berhampiran kawasan pasar di daerah Dantewada, India, pada 25 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Dantewada, Gaurav Rai berkata, penahanan terhadap suspek dibuat pada 5 Ogos lalu selepas pasukan khas yang diketuai Penolong Pesuruhjaya Polis (ASP) bersama Timbalan Pegawai Penguasa Polis (SDOP) Kuakonda meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian.
“Berdasarkan bukti yang diperoleh, kami menahan suspek dikenali sebagai Bheema Ram Markam, 30, yang kemudian mengaku melakukan jenayah tersebut,” katanya pada Khamis.
Siasatan awal mendapati pada hari kejadian, mangsa mengunjungi pasar mingguan di Kampung Palnar, Kuakonda dan kali terakhir dilihat dalam keadaan mabuk, berehat di bawah pokok di kawasan pasar.
Keesokan paginya, beberapa wanita tempatan yang membersihkan kawasan pasar menemui mayat mangsa dalam keadaan bogel berhampiran pokok tersebut lalu memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Keluarga mangsa mengesahkan identiti mayat itu dan memaklumkan wanita berkenaan dilaporkan hilang sejak sehari sebelumnya.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman parah termasuk trauma pada bahagian sulit akibat hentakan botol arak yang menjadi punca kematian.
Gaurav berkata, siasatan lanjut mendapati rakaman CCTV menunjukkan kelibat suspek berkeliaran berhampiran lokasi kejadian sekitar waktu jenayah berlaku.
“Suspek juga pergi ke rumah mangsa selepas kejadian untuk bertanyakan keberadaannya dipercayai bagi mengelirukan pihak polis. Namun siasatan kami berjaya mengaitkannya dengan jenayah ini,” jelasnya.
Suspek turut mengaku merogol mangsa dan menyerangnya menggunakan botol arak sehingga menyebabkan kecederaan parah dan kematian.-The Times of India