KUALA LUMPUR - Penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar, IHH Healthcare Malaysia (IHH) menganjurkan program Media Health Hunt Challenge melibatkan lebih 40 pengamal media daripada 20 media utama tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif Serantau IHH Healthcare Malaysia, Erica Lam berkata, program interaktif sehari itu membawa peserta menjelajah enam hospital milik IHH di Lembah Klang iaitu Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Pantai Ampang, Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Klang, Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Prince Court.
Beliau berkata, pihaknya mahu rakan media benar-benar merasai sendiri pengalaman yang menjadikan IHH Healthcare berbeza, selain meneroka perkhidmatan disediakan di setiap hospital.
"Melalui pengalaman berkenaan, wakil media berpeluang melihat sendiri bagaimana IHH Healthcare menyediakan penjagaan peribadi berkualiti tinggi yang didorong oleh kecemerlangan klinikal, kepakaran pelbagai disiplin dan komitmen terhadap kesejahteraan pesakit.
"Di seluruh rangkaian kami, hospital beroperasi sebagai satu sistem yang saling berhubung dan menyediakan penjagaan menyeluruh," katanya.
Erica menambah, pesakit dirujuk kepada pakar yang sesuai melalui sistem rujukan dalaman tersusun bagi memastikan rawatan tepat pada masanya, berkesan dan terkoordinasi.
Menurutnya, hal itu menjadikan IHH Healthcare unik apabila menawarkan satu ekosistem penjagaan kesihatan dipercayai dan berteraskan pesakit, menyokong mereka dengan kepakaran pelbagai disiplin serta komitmen terhadap penjagaan berkualiti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court, Dr Shuba Srinivasan berkata, program itu direka sebagai pengalaman interaktif dan menyeronokkan apabila peserta menyelesaikan petunjuk lokasi, meneroka kepakaran utama hospital serta berinteraksi bersama pasukan klinikal.
Kongsi beliau, antara kemudahan dan teknologi canggih ditonjolkan merupakan ambulans motosikal elektrik pertama di Malaysia, kolam hidroterapi moden, Wad Pediatrik Pintar berasaskan teknologi suara serta Lounge Premier untuk pesakit antarabangsa di Pusat Perubatan Prince Court.
Katanya, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur pula menampilkan Mako SmartRobotics™ dan EksoNR robotic exoskeleton manakala Hospital Pantai Klang memperkenalkan perkhidmatan Makmal Kateterisasi Jantung dan kardiologi intervensi.
Beliau menambah, Hospital Pantai Cheras mengetengahkan perkhidmatan kecemasan sepanjang masa, manakala Hospital Pantai Ampang memfokuskan kepada perkhidmatan kecemasan jantung 24/7 dan kemudahan Cath Lab.
"Di Hospital Pantai Kuala Lumpur, peserta melihat sendiri rawatan radiosurgeri Gamma Knife, Pusat Tangan dan Anggota Atas serta Pusat Penjagaan Payudara yang menawarkan perkhidmatan sehenti,” kata Dr Shuba.
Beliau berkata, fokus diberikan kepada bidang kanser, jantung, ortopedik dan perkhidmatan kecemasan sepanjang program, namun IHH Healthcare turut menawarkan kepakaran lain termasuk obstetrik dan ginekologi, pediatrik, bedah saraf dan pemulihan.
Untuk rekod, IHH Healthcare Malaysia mengendalikan rangkaian 18 hospital di seluruh negara termasuk Hospital Gleneagles, Hospital Island, Hospital Pantai, Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Perubatan Timberland.