Salah guna kuasa ganggu misi Malaysia sifar rasuah 2050

Iklan
Salah guna kuasa dan rasuah merupakan perbuatan tidak bermoral yang mengganggu usaha kerajaan mencapai sasaran Malaysia sifar rasuah menjelang 2050. Gambar kecil: Hamdan Daniel

SHAH ALAM – Salah guna kuasa dan rasuah merupakan perbuatan tidak bermoral yang mengganggu usaha kerajaan mencapai sasaran Malaysia sifar rasuah menjelang 2050.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi pentadbiran kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih membimbangkan, ia memberi kesan buruk terhadap imej penjawat awam selain merosakkan nama baik keluarga.

"Gaya hidup melampau dan keinginan mengumpul kekayaan dengan cepat sering menjadi punca seseorang sanggup menyeleweng amanah yang diberikan.

Iklan

"Setiap penjawat awam perlu sentiasa mengamalkan nilai integriti serta berpegang teguh kepada prinsip amanah dalam melaksanakan tugas.

" Kempen kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya rasuah juga perlu dipertingkatkan secara berterusan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan dua pemilik syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah lebih RM800,000 daripada seorang individu.

Sumber berkata, suapan tersebut sebagai balasan bagi membantu menguruskan permohonan mendapatkan lot tanah di daerah ini dari agensi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Perintah reman selama enam hari hingga 11 Ogos depan terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ling Hui Chuan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Kuching.

Tambah Hamdan Daniel, jumlah suapan sebanyak RM800,000 adalah sangat besar dan membuktikan masih wujud pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan secara salah.

Jelasnya, usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya disandarkan kepada pihak berkuasa semata-mata sebaliknya memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk membebaskan Malaysia daripada budaya rasuah.

"Tekad kolektif amat penting bagi memastikan integriti kekal menjadi tunjang perkhidmatan awam,”ujarnya.